128 terkorban, Hong Kong berkabung tiga hari

HONG KONG, 29 November – Hong Kong memasuki tempoh berkabung tiga hari bermula pagi tadi, susulan tragedi kebakaran kompleks pangsapuri Wang Fuk Court yang meragut 128 nyawa, sekali gus menjadi kebakaran kediaman paling buruk di bandar itu sejak lebih 70 tahun.

Upacara bertafakur bermula tepat 8 pagi di luar ibu pejabat kerajaan Hong Kong, dipimpin Ketua Eksekutif John Lee, bersama barisan menteri dan pegawai kanan.

Bendera China dan Hong Kong dikibarkan separuh tiang sebagai penghormatan kepada mangsa tragedi.

Penduduk mula meletakkan bunga di tapak kebakaran Wang Fuk Court yang terbakar lebih 40 jam, memusnahkan tujuh daripada lapan blok kediaman.

Kerajaan membuka pusat takziah di seluruh Hong Kong, sementara keluarga mangsa terus mencari ahli keluarga di hospital dan pusat pengecaman.

Setakat ini, 200 orang masih hilang dan 89 mayat belum dikenal pasti.

Dalam perkembangan siasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ICAC) menahan lapan individu, termasuk perunding dan subkontraktor perancah.

Sementara itu, polis turut menahan tiga lelaki kerana cuai meninggalkan bahan pembungkusan buih di lokasi yang dipercayai mempercepatkan merebaknya api.

Kebakaran dipercayai bermula daripada jaring pelindung di tingkat bawah sebelum merebak pantas dibantu papan buih mudah terbakar serta perancah buluh yang dipasang pada bangunan.

Ketua Jabatan Bomba Hong Kong, Andy Yeung, mengesahkan sistem penggera di semua blok gagal berfungsi, dan tindakan tegas akan diambil terhadap kontraktor terlibat.

Puluhan mangsa masih dirawat di hospital, termasuk 11 kritikal dan 21 serius.

Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan lebih banyak mayat ditemui selepas pasukan penyiasat memasuki bangunan untuk pemeriksaan terperinci.

Kerajaan menyediakan penginapan sementara untuk 800 mangsa, manakala sembilan pusat perlindungan kecemasan menempatkan lebih 720 orang pada malam kejadian.

Siasatan penuh dijangka selesai dalam tempoh empat minggu, sementara usaha mencari mangsa dan mengenal pasti mayat diteruskan pihak berkuasa. – AFP

Hey there! Ask me anything!