ATHENS, 8 Disember – Pasukan pengawal pantai Greece pada Isnin meneruskan operasi mencari 15 individu yang dilaporkan terjatuh ke laut daripada sebuah bot migran yang ditemui hanyut berhampiran pesisir Crete dengan 17 mayat di dalamnya.
Kesemua mangsa yang maut adalah lelaki, ditemukan pada Sabtu di dalam bot yang dimasuki air kira-kira 26 batu nautika (48 kilometer) di barat daya pulau berkenaan.
Bedah siasat sedang dijalankan bagi menentukan punca kematian, namun saluran televisyen awam Greece, ERT melaporkan bahawa mangsa mungkin mengalami hipotermia atau dehidrasi.
Jurucakap pengawal pantai Greece memberitahu AFP bahawa dua mangsa yang terselamat memaklumkan ’15 orang terjatuh ke laut’ selepas enjin bot terhenti pada Khamis, menyebabkan ia hanyut selama dua hari.
Ketika itu, Crete dan sebahagian besar Greece sedang dilanda hujan lebat serta ribut.
Dua mangsa berkenaan memberitahu bot tersebut menjadi tidak stabil akibat cuaca buruk, selain kekurangan tempat berlindung, makanan dan bekalan air.
Pihak berkuasa pelabuhan Greece berkata bot itu membawa 34 orang dan berlepas dari pelabuhan Tobruk di Libya pada Rabu dan kebanyakan mangsa yang maut berasal dari Sudan dan Mesir. -AFP