51 negara seru IAEA beri sokongan segera, jangka panjang kepada Palestin

RAMALLAH, 20 November – Sebanyak 51 negara termasuk Türkiye, United Kingdom, Sepanyol, Itali dan China, mengesahkan bahawa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) boleh memainkan peranan penting dalam menyediakan bantuan segera dan jangka panjang kepada Palestin bagi mengurangkan krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • 51 negara mengesahkan peranan penting IAEA dalam bantuan segera dan jangka panjang kepada Palestin.
  • Kenyataan itu dibacakan semasa mesyuarat Lembaga Gabenor IAEA di Vienna oleh wakil Türkiye.
  • Mengalu-alukan gencatan senjata dan mendesak pematuhan serta pelaksanaan semua pihak.
  • Amaran bahawa bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza jauh lebih rendah daripada perjanjian gencatan senjata.
  • Seruan IAEA membantu dalam perubatan nuklear, ujian tanpa musnah dan penilaian pencemaran tanah, udara dan air.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama mengenai situasi kemanusiaan di Gaza, yang ditandatangani 51 negara semasa mesyuarat Lembaga Gabenor IAEA di Vienna dan dibacakan oleh Wakil Tetap Türkiye ke Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu di Vienna, Levent Eler, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Kenyataan itu mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata di Gaza dan menggesa semua pihak mematuhi serta melaksanakannya.

Ia turut menyuarakan kebimbangan terhadap situasi kemanusiaan yang meruncing di wilayah Palestin yang diduduki, khususnya di Gaza.

Menurut kenyataan itu, jumlah bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza adalah “jauh lebih rendah” berbanding apa yang dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata.

“Memandangkan situasi kemanusiaan semakin merosot, kami percaya bahawa IAEA boleh memainkan peranan penting dalam menyediakan bantuan segera dan jangka panjang kepada Negara Palestin bagi meringankan krisis kemanusiaan di Gaza,” menurut kenyataan itu.

Ia turut menyeru IAEA supaya membantu memenuhi keperluan segera dan jangka panjang Palestin dalam bidang perubatan nuklear, ujian tanpa musnah serta penilaian pencemaran tanah, udara dan air.- BERNAMA-WAFA

Hey there! Ask me anything!