PARIS, 29 November – Syarikat penerbangan di seluruh dunia terpaksa membatalkan dan menangguhkan penerbangan susulan arahan Airbus untuk melakukan semakan keselamatan terhadap pesawat A320.
Langkah itu membabitkan kira-kira 6,000 pesawat, selepas mengesan kerosakan pada sistem kawalan penerbangan yang dipercayai berpunca daripada sinaran matahari yang kuat.
Air France membatalkan 35 penerbangan, manakala Avianca memaklumkan 70 peratus pesawatnya terjejas susulan arahan semakan keselamatan itu.
Airbus sebelum ini menggesa semua pengendali mengambil langkah berjaga-jaga selepas insiden JetBlue pada Oktober, apabila sebuah A320 terpaksa melakukan pendaratan cemas di Tampa, Florida akibat masalah komputer penerbangan.
Airbus menjangka kerja naik taraf mengambil masa beberapa jam bagi kebanyakan pesawat, namun kira-kira 1,000 pesawat mungkin memerlukan tempoh beberapa minggu untuk dinaik taraf.
Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) mengesahkan dimaklumkan mengenai isu itu, dan memberi amaran bahawa gangguan jangka pendek penerbangan tidak dapat dielakkan demi keselamatan.
Syarikat aeroangkasa Thales turut menjelaskan komputer kawalan penerbangannya mematuhi piawaian Airbus, tetapi fungsi perisian yang dipersoalkan kerana bukan dalam tanggungjawab syarikat terbabit.
American Airlines memulakan naik taraf perisian terhadap 340 pesawatnya, manakala United Airlines tidak terkesan dengan perisian tersebut. – AFP