Afrika Selatan tidak akan serah jawatan presiden G20 kepada diplomat AS

DURBAN, 23 November – Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa tidak akan menyerahkan tugas pengerusi G20 kepada diplomat Amerika Syarikat (AS) pada Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Johannesburg.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden Cyril Ramaphosa tidak akan menyerahkan tugas pengerusi G20 kepada diplomat AS semasa Sidang Kemuncak di Johannesburg.
  • Afrika Selatan menuntut serah tugas rasmi hanya dihadiri pemimpin atau menteri khas; penyerahan boleh diatur kemudian di Jabatan Perhubungan dan Kerjasama Antarabangsa.
  • Hubungan AS-Afrika Selatan tegang: aduan ke ICJ terhadap Israel dan tindakan AS (pengurangan bantuan, tarif, pengusiran duta) merendahkan hubungan.

Perkara itu dinyatakan Menteri Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan, Ronald Lamola.

Sidang Kemuncak dibuka pada Sabtu tanpa kehadiran wakil AS, walaupun ia akan mengambil alih kerusi pengerusi daripada Afrika Selatan, yang kebiasaanya memerlukan majlis penyerahan tanggungjawab secara rasmi.

AS sebaliknya menghantar kuasa usaha di Kedutaan AS di Afrika Selatan untuk serah tugas.

“Majlis serah tugas yang berlangsung dalam sidang kemuncak perlu dihadiri pemimpin di peringkat ketua negara atau sekurang-kurangnya menteri yang dilantik khas oleh Presiden AS,” jelas Lamola.

Afrika Selatan sentiasa mengekalkan sikap terbuka dan bersahabat serta bersedia untuk meneruskan kerjasamanya dengan Amerika Syarikat, katanya.

Oleh itu, tanpa kehadiran pegawai kanan AS pada sidang kemuncak tersebut, Lamola berkata, penyerahan itu akan diatur di Jabatan Perhubungan dan Kerjasama Antarabangsa Afrika Selatan selepas sidang kemuncak, atau di lokasi lain yang sesuai di Afrika Selatan atas permintaan AS.

White House pada Sabtu mendakwa bahawa Afrika Selatan enggan memudahkan pemgambilalihan jawatan presiden G20 kepada AS.

Ketegangan antara AS dan Afrika Selatan memuncak selepas Pretoria memfailkan aduan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada Disember 2023 terhadap Israel atas dakwaan melakukan “pembunuhan beramai-ramai” terhadap rakyat Palestin di Gaza, yang dianggap AS sebagai sesuatu yang menyinggungnya.

Amerika Syarikat mula-mula memotong bantuan kepada Afrika Selatan dengan alasan dasar tanahnya “mendiskriminasi” warga Afrika Selatan berkulit putih, satu dakwaan yang berulang kali ditolak oleh kerajaan Afrika Selatan sebagai tidak berasas sebelum mengusir Duta Besar Afrika Selatan ke AS, Ebrahim Rasool pada Mac lepas.

Mulai 7 Ogos pula, Washington mengenakan tarif sebanyak 30% ke atas barangan Afrika Selatan, kadar tertinggi di negara sub-Sahara itu.

Selain itu, kerajaan AS turut menggantung pembiayaan bagi program pencegahan dan kawalan AIDS di Afrika Selatan.

Kerajaan Afrika Selatan mengakui bahawa hubungan dengan Amerika Syarikat telah merosot ke tahap paling rendah.

Hey there! Ask me anything!