AI berpotensi bantu perkasa sektor pertanian Afrika

DOHA, 7 Disember – Kecerdasan buatan (AI) berpotensi membantu Afrika menjadi pengeksport bersih makanan yang signifikan, jika teknologi tersebut dimanfaatkan untuk memperkasakan petani kecil di benua itu, kata Pengasas Microsoft, Bill Gates.

Berucap pada Forum Doha di Qatar, Gates berkata walaupun majoriti penduduk Afrika bekerja dalam sektor pertanian, benua itu masih bergantung kepada import makanan dan berdepan pelbagai cabaran seperti pertumbuhan penduduk yang tinggi, kemerosotan kualiti tanah serta kesan perubahan iklim.

“Ironinya, walaupun ramai bekerja dalam pertanian di Afrika, benua itu masih pengimport bersih makanan. Tetapi jika kita memperkasakan petani dengan inovasi, termasuk AI yang memberi nasihat, pemahaman tentang tanah, benih baharu dan ternakan lebih baik, sektor ini mampu mengatasi cabaran tersebut dan menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Gates turut menekankan jurang produktiviti yang ketara antara ladang Afrika dan negara maju.

“Secara purata, hasil per hektar ladang di Afrika hanya kira-kira 20 peratus daripada ladang di negara kaya, dan ia tidak sepatutnya begitu,” katanya sambil menjelaskan bahawa penasihat AI mampu memberi panduan mengenai cuaca, harga pasaran, varieti benih dan penyakit tanaman.

Tambah beliau, perkhidmatan AI berasaskan awan untuk bidang kesihatan, pendidikan dan pertanian boleh disediakan secara percuma melalui sumbangan negara kaya serta kerjasama dengan yayasan seperti Gates Foundation.

“Kos awan untuk AI ini agak rendah. Negara kaya seharusnya boleh menanggungnya, membolehkan sesiapa sahaja di Afrika menggunakan telefon mereka untuk bercakap dengan doktor, tutor atau penasihat pertanian tanpa bayaran,” katanya lagi.

Gates menjangkakan bahawa pertanian akan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi Afrika bagi dua dekad akan datang.

Hey there! Ask me anything!