BANDA ACEH, 6 Disember – Hujan lebat dijangka kembali membadai pulau Sumatera pada Sabtu, ketika Gabenor Aceh memberi amaran bahawa angka kematian akibat bencana banjir mungkin meningkat melebihi 883 orang kerana kebuluran.
Ribut tropika dan hujan monsun yang melanda Asia Tenggara dan Asia Selatan sejak minggu lalu telah mencetuskan tanah runtuh dan banjir kilat dari hutan hujan Sumatera hingga ke kawasan tanah tinggi Sri Lanka.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 1,770 orang terkorban di Indonesia, Sri Lanka, Malaysia, Thailand dan Vietnam akibat bencana yang berlaku serentak di rantau tersebut.
Agensi cuaca Indonesia menjangkakan hujan semula di Aceh dan Sumatera Utara, kawasan yang terjejas teruk dengan jalan raya musnah, rumah dipenuhi lumpur serta bekalan makanan dan air terputus.
Gabenor Aceh, Muzakir Manaf berkata pasukan penyelamat masih mencari mangsa yang tertimbus dalam lumpur.
Namun menurutnya, kebuluran kini menjadi ancaman terbesar di kampung-kampung terpencil yang masih terputus hubungan.
“Ramai orang perlukan keperluan asas. Banyak kawasan terpencil di Aceh masih belum menerima bantuan.
“Penduduk bukan mati kerana banjir, tetapi kerana kebuluran,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa seluruh kampung di daerah Aceh Tamiang musnah sama sekali.
“Daerah Aceh Tamiang hancur dari hulu hingga hilir, termasuk jalan raya sehingga ke pesisir pantai. Banyak kampung dan mukim kini tinggal nama,” katanya.
Penduduk Aceh, Munawar Liza Zainal, berkata beliau berasa “dikhianati” oleh kerajaan Indonesia yang masih enggan mengisytiharkan bencana nasional.
“Ini bencana luar biasa yang memerlukan tindakan luar biasa.
“Kalau status itu diumumkan lewat, apa gunanya?” katanya, seiring rasa kecewa mangsa banjir lain.
Status bencana nasional akan membuka lebih banyak sumber dan memudahkan penyelarasan operasi bantuan, namun penganalisis berpendapat kerajaan mungkin keberatan kerana bimbang dianggap gagal menangani krisis tanpa bantuan asing.
Bagaimanapun, kerajaan Indonesia menegaskan minggu ini bahawa mereka mampu menguruskan situasi tersebut.
Sementara itu, skala kemusnahan semakin jelas apabila paras air surut di beberapa kawasan di Sumatera.
Angka korban di Indonesia meningkat kepada 883 orang dengan 520 masih hilang.
Sri Lanka pula mencatat 607 kematian selepas lonjakan lebih 100 orang pada Jumaat susulan risiko tanah runtuh baharu.
Thailand melaporkan 276 kematian, Malaysia dua, dan sekurang-kurangnya dua orang terkorban di Vietnam.
Musim monsun merupakan fenomena biasa di Asia Tenggara, namun perubahan iklim menjadikannya semakin tidak menentu dan berbahaya.
Aktivis alam sekitar dan pihak berkuasa Indonesia turut menyatakan bahawa pembalakan serta penyahhutanan memburukkan lagi kejadian tanah runtuh dan banjir di Sumatera.-AFP