WASHINGTON, 3 Disember – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) menggantung permohonan imigresen bagi warganegara 19 negara termasuk Afghanistan, Yaman dan Haiti.
Menurut Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen AS (USCIS), pihak berkuasa menghentikan sementara pemprosesan kad hijau dan kewarganegaraan bagi negara yang sudah dikenakan sekatan perjalanan pada Jun lalu oleh Presiden AS, Donald Trump.
“USCIS memainkan peranan penting dalam menghalang pengganas mencari perlindungan di AS dan merujuk kepada kelemahan pemeriksaan keselamatan sebelum ini.
“USCIS turut menyatakan rancangan untuk menyemak semula secara menyeluruh semua warganegara dari 19 negara yang memasuki AS selepas 20 Januari 2021,” menurut kenyataan itu.
Antara negara lain yang terjejas ialah Venezuela, Sudan dan Somalia.
Sekatan perjalanan juga terpakai ke atas Burundi, Chad, Republik Demokratik Congo, Cuba, Equatorial Guinea, Eritrea, Iran, Laos, Libya, Myanmar, Sierra Leone, Togo, dan Turkmenistan.
Tindakan itu disifatkan sebagai langkah membanteras kemasukan pengganas ke AS, selepas insiden tembakan terhadap dua askar Pengawal Nasional minggu lalu, yang mengorbankan salah seorang daripada mangsa.
Suspek utama, seorang warganegara Afghanistan, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pembunuhan.
Sesetengah pakar undang-undang imigresen menyifatkan langkah itu menjejaskan ramai pemohon yang hampir menamatkan proses kewarganegaraan mereka.
Selain itu, media AS melaporkan perancangan operasi penguatkuasaan imigresen besar-besaran terhadap pendatang Somalia di Minnesota, yang mencetuskan bantahan pemimpin tempatan kerana pihak polis negeri menegaskan tidak akan bekerjasama.
Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey, menegaskan bahawa nilai dan komitmennya terhadap komuniti Somalia, serta setiap komuniti pendatang di bandar itu, adalah teguh dan tidak akan goyah. -AFP