Banjir dahsyat melanda Indonesia dan Sri Lanka, ratusan terkorban dan hilang

Sibolga, 4 Disember – Ramalan hujan lebat pada Khamis mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan banjir susulan di Indonesia dan Sri Lanka, selepas hujan deras sebelum ini telah meragut lebih 1,500 nyawa di empat negara di Asia Tenggara.

Agensi meteorologi Indonesia memberi amaran bahawa tiga wilayah paling teruk terjejas di Pulau Sumatera akan mengalami hujan sederhana hingga lebat antara Khamis dan Jumaat.

Walaupun hujan kali ini belum mencapai tahap hujan lebat minggu lalu, ia tetap menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk yang trauma akibat banjir kilat dan tanah runtuh sebelum ini.

“Kami bimbang, jika hujan turun secara tiba-tiba, banjir akan datang lagi.” kata seorang mangsa, 54 tahun, yang hanya dikenali sebagai Sabandi di sebuah pusat pemindahan di Pandan, Sumatera Utara.

Jumlah korban di Indonesia kini dicatatkan sebanyak 776 orang, sedikit menurun selepas maklumat dari kawasan terpencil diterima.

Manakala lebih 560 orang masih hilang, dan gangguan komunikasi serta bekalan elektrik menyukarkan usaha pengesanan.

Sabandi menceritakan pengalamannya terperangkap di atas bumbung rumah selama dua hari tanpa makanan atau air sebelum berjaya dipindahkan.

Rumahnya juga dipenuhi lumpur sehingga beliau tidak dapat memasuki rumah.

Di Banda Aceh, seorang wartawan AFP melaporkan barisan panjang sehingga 4 kilometer di sebuah stesen minyak.

Gabenor wilayah memimpin sebuah kumpulan bantuan ke kawasan Aceh Tamiang yang terjejas teruk pada Rabu, menghantar 30 tan bekalan asas termasuk air minuman, beras, mi segera, biskut, telur dan ubat-ubatan.

Di Langsa, Erni, 49 tahun, terpaksa berlindung bersama keluarganya di sebuah surau selepas rumah mereka musnah akibat banjir.

Walaupun mereka menerima bekalan air minuman dan makanan untuk beberapa hari, gangguan bekalan elektrik dan akses air bersih yang tidak menentu menyukarkan usaha membersihkan rumah

“Almari, meja, peti sejuk — semua rosak. Kami tak boleh tidur, sentiasa bimbang jika banjir datang lagi.” katanya.

Selain itu, mangsa lain melaporkan kekurangan makanan, kenaikan harga barang serta kes kecurian berlaku di kawasan terjejas, menambah cabaran dalam usaha bantuan.

Di Sri Lanka, para peramal cuaca menyatakan monsun timur laut dijangka tiba dari petang Khamis.

Amaran tanah runtuh dikeluarkan untuk beberapa kawasan teruk terjejas di Kandy, dan penduduk dinasihatkan supaya tidak kembali ke rumah kerana cerun yang tepu air boleh runtuh apabila hujan turun lagi.

Di kampung Hadabima, 18 mayat ditemui di enam rumah yang musnah akibat tanah runtuh dan enam lagi masih hilang.

“Kami tidak boleh tinggal di sini lagi kerana kampung ini kini menjadi perkuburan.” menurut mangsa VK Muthukrishnan, seorang juruelektrik berusia 42 tahun.

Jumlah korban di Sri Lanka kini sekurang-kurangnya 479 orang, dengan ratusan lagi dilaporkan hilang.

Presiden Sri Lanka telah memohon sokongan antarabangsa untuk menghadapi krisis ini. Pihak berkuasa menganggarkan negara memerlukan sehingga AS$7 bilion untuk membina semula rumah, industri dan jalan raya, satu cabaran besar bagi sebuah negara yang masih pulih dari krisis ekonomi terburuknya tiga tahun lalu.

Banjir ini berlaku akibat dua sistem cuaca berasingan yang membasahi Sri Lanka, Sumatera, bahagian selatan Thailand dan utara Malaysia minggu lalu.

Monsun musiman adalah penting untuk pertanian di rantau ini, tetapi perubahan iklim menjadikannya semakin tidak menentu dan lebih berbahaya.

Usaha bantuan dan pemulihan terganggu oleh masalah logistik, kekurangan bekalan asas, gangguan komunikasi serta harga barang yang meningkat.

Para mangsa kini bukan sahaja bergelut untuk mencari makanan dan air bersih, tetapi juga berdepan trauma psikologi akibat kehilangan rumah, keluarga dan harta benda.- AFP

Hey there! Ask me anything!