SUMATERA, 5 Disember – Operasi menyelamat dan bantuan bencana secara besar-besaran sedang dijalankan di wilayah Agam di wilayah Sumatera Barat, Indonesia, susulan banjir besar dan tanah runtuh yang berlaku pada minggu lalu.
Menurut data rasmi terkini yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), bencana dahsyat itu setakat ini telah mengorbankan 836 orang, manakala lebih 500 lagi dilaporkan hilang.
Agam merupakan salah sebuah kawasan paling teruk terjejas di wilayah berkenaan yang menyaksikan banyak rumah dan infrastruktur termasuk sistem bekalan elektrik, jalan raya dan jambatan mengalami kerosakan teruk dengan ramai penduduk turut kehilangan ahli keluarga mereka.
“Semuanya di sini telah musnah. Sembilan ahli keluarga saya, termasuk anak, cucu-cucu saya dan isteri saya meninggal dunia akibat banjir,” kata Erik, salah seorang penduduk terjejas.
“Kami sempat melarikan diri, tetapi kira-kira tiga saat kemudian, hanya lima meter selepas kami keluar, tiba-tiba air banjir mengalir dengan deras ke arah kami. Pada saat itu, saya dan anak saya yang berusia lima tahun hanya mampu berpelukan erat dalam air berlumpur,” kata seorang lagi penduduk terjejas, Rita Sitatih.
Lumpur tebal memenuhi bahagian dalam dan luar rumah di Agam dengan kayu hanyut dan serpihan bangunan yang dibawa arus banjir bertaburan di sekitar kawasan tersebut.
Banyak mayat ditemukan ketika operasi menyelamat mangsa tanah runtuh dan banjir. -REUTERS