Bekas Menteri Luar Thailand seru diplomasi, selesai konflik sempadan

BANGKOK, 18 Disember – Bekas Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya, menyeru pemimpin Thailand dan Kemboja supaya menyelesaikan perbezaan melalui dialog, bukannya di medan perang, sambil menegaskan China berpotensi memainkan peranan sebagai perantara kerana hubungan eratnya dengan kedua-dua negara.

Konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja kembali tercetus sejak 7 Disember, kurang daripada dua bulan selepas kedua-dua negara menandatangani perisytiharan keamanan bersama, dengan masing-masing saling menyalahkan antara satu sama lain.

Menurut Kementerian Pertahanan Thailand pertempuran itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 19 anggota tentera Thailand dan 19 orang awam, manakala lebih 270,000 rakyat terpaksa meninggalkan kediaman.

Sementara itu, pada hari sama, Kementerian Pertahanan Kemboja memaklumkan bahawa 17 orang awam terbunuh dan 77 cedera akibat serangan udara dan tembakan artileri Thailand ke atas wilayah Kemboja, dengan lebih 438,000 individu terpaksa berpindah.

Kasit Piromya menyeru agar pemimpin kedua-dua negara meletakkan kepentingan rakyat sebagai perkara utama, mengetepikan ego dan mencari penyelesaian.

“Rakyat mesti menjadi keutamaan, bukan kemenangan, kekalahan atau medan perang. Ia memberi kesan buruk dan merosakkan semua pihak. Mudah untuk membangkitkan semangat, tetapi tanda seorang pemimpin yang hebat adalah mampu mengatasi sentimen nasionalisme dan kembali kepada pertimbangan rasional serta memulakan perbincangan antara satu sama lain,” katanya.

Jurucakap Kementerian Luar China pada sidang media menyeru agar segalanya dikawal dengan penuh diplomasi, termasuk mengambil langkah yang boleh menyumbang kepada gencatan senjata bagi menurunkan ketegangan dengan segera.

Jurucakap itu menambah, China menyokong dialog dan rundingan terus antara Thailand dan Kemboja, selain menyokong usaha ASEAN – khususnya Malaysia – dalam perbincangan damai dan mencari penyelesaian yang boleh diterima bersama dalam kerangka ASEAN.

Kasit Piromya percaya China boleh memainkan peranan konstruktif dalam proses keamanan antara kedua-dua negara.

“China mempunyai hubungan dua hala yang baik dengan Thailand dan Kemboja. Oleh itu, China berada dalam kedudukan unik dan strategik untuk menyatukan kedua-dua pihak,” katanya.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.