China dakwa Filipina ceroboh Xianbin Jiao

BEIJING, 18 Disember – China mengecam tindakan Filipina selepas kapal-kapal Manila didakwa menceroboh ke lagun Xianbin Jiao di Laut China Selatan.

Jurucakap Kementerian Pertahanan China Jiang Bin, membuat kenyataan itu sebagai respons terhadap tuduhan palsu Filipina mengenai tindakan penguatkuasaan maritim China terhadap anggota Filipina berhampiran Xianbin Jiao.

Menurut Jiang, Filipina dengan sengaja menghantar sejumlah besar kapal untuk menceroboh lagun Xianbin Jiao. Anggota kapal Filipina dilaporkan mengacukan pisau untuk mengugut pegawai pengawal pantai China yang menjalankan operasi sah, tindakan yang dianggapnya “amat keterlaluan”.

“Langkah yang diambil oleh pihak China adalah tindakan perlu bagi menjaga kedaulatan wilayah serta hak dan kepentingan maritimnya. Ia adalah tindakan munasabah, sah, profesional dan terkawal.

“Pihak Filipina terang-terangan memutarbelitkan fakta, mencari alasan untuk menafikan pelanggaran dan provokasi sendiri. Mereka menuding jari kepada China, seolah-olah menjadi mangsa,” katanya.

Jiang juga mendakwa Filipina berulang kali menggugat keamanan di laut, mengatur insiden dan sengaja menuduh China, sekali gus menimbulkan ketegangan di Laut China Selatan serta mengganggu kestabilan serantau.

“Kami memberi amaran serius bahawa China akan terus mempertahankan hak mengikut undang-undang. China akan terus mengambil tindakan tegas bagi menangkis semua bentuk pelanggaran dan provokasi,” katanya lagi.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.