China digesa guna pengaruh, usahakan gencatan senjata di Ukraine

BEIJING, 4 Disember – Presiden Perancis, Emmanuel Macron menggesa China menggunakan pengaruhnya bagi mendesak gencatan senjata di Ukraine.

“China mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian,” tegas Macron dalam pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping di Great Hall of the People di sini, hari ini.

Menurut beliau, kerjasama dengan China bakal menjadi faktor penentu ke arah keamanan di Ukraine.

“Kita mesti terus berusaha ke arah mencapai keamanan dan kestabilan di dunia dan di Ukraine, serta wilayah lain yang terjejas oleh peperangan,” kata Macron.

Beliau turut menekankan agar Perancis dan China mengatasi perbezaan antara mereka demi kebaikan yang lebih besar.

Xi mengimbangi kata-kata Macron dengan menyeru hubungan yang lebih stabil dengan Perancis.

Tegasnya, China bersedia bekerjasama dengan Perancis untuk menolak sebarang campur tangan serta menjadikan perkongsian strategik menyeluruh antara kedua-dua negara lebih stabil.

Macron yang ditemani isteri, Brigitte melawat China buat kali keempat sejak memegang jawatan Presiden pada tahun 2017.

Selain Xi, beliau juga dijangka bertemu Premier China, Li Qiang sebelum berangkat ke Chengdu, lokasi dua ekor panda gergasi yang dipinjamkan kepada Perancis dipulangkan baru-baru ini.

Macron telah berusaha menekan Xi untuk membantu mengusahakan gencatan senjata di Ukraine, ketika perang dengan Rusia memasuki musim dingin keempat.

China secara konsisten menyeru rundingan damai dan penghormatan terhadap integriti wilayah semua negara, namun tidak pernah mengecam pencerobohan Rusia pada 2022. -AFP

Hey there! Ask me anything!