TOKYO, 19 November – China memaklumkan kepada Jepun bahawa ia akan menggantung semua import makanan laut dari negara itu, lapor agensi Kyodo dan NHK pada Rabu, sekali gus meningkatkan ketegangan diplomatik antara dua ekonomi terbesar Asia.
- China menggantung semua import makanan laut dari Jepun, meningkatkan ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara.
- Keputusan dibuat kononnya untuk pemantauan tambahan terhadap pelepasan air terawat dari loji Fukushima.
- Sebelum ini China ialah pasaran terbesar hasil laut Jepun, menyumbang lebih satu perlima eksport makanan laut.
- Langkah itu berlaku ketika hubungan meruncing susulan kenyataan pemimpin Jepun mengenai status Taiwan.
Awal tahun ini, Beijing melonggarkan sebahagian sekatan terhadap produk laut Jepun yang diperkenalkan selepas Tokyo melepaskan air buangan terawat dari loji nuklear Fukushima ke laut pada 2023.
Sebelum sekatan itu, China merupakan pasaran terbesar bagi hasil laut Jepun, menyumbang lebih satu perlima daripada jumlah eksport makanan laut negara tersebut.
Menurut laporan Kyodo, China memaklumkan bahawa keputusan mengenakan semula larangan sepenuhnya dibuat atas alasan memerlukan pemantauan tambahan terhadap pelepasan air terawat berkenaan.
Namun langkah itu turut berlaku di tengah pertikaian diplomatik yang memuncak, susulan kenyataan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, awal bulan ini mengenai Taiwan, pulau yang ditadbir sendiri tetapi dituntut Beijing sebagai sebahagian daripada wilayahnya. -REUTERS