KHARTOUM, 3 Disember – Sekumpulan doktor Sudan pada Rabu menyatakan kebimbangan serius mengenai nasib puluhan kanak-kanak dan wanita yang tidak diketahui di Babnousa, Kordofan Barat selepas pertempuran antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
Dalam satu kenyataan, Sudan Doctors Network berkata Babnousa menyaksikan pertempuran sengit dan keganasan itu mengancam keluarga yang sebelum ini berlindung di ibu pejabat Divisyen Infantri ke-22 tentera selepas pasukan RSF menawan bandar itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kumpulan itu berkata video yang dimuat naik anggota RSF menunjukkan sejumlah besar wanita dan kanak-kanak berada di pangkalan berkenaan dalam keadaan kemanusiaan yang teruk.
Rangkaian itu turut menggesa agar keselamatan mereka dijamin, melindungi mereka dan memindahkan mereka ke lokasi selamat tanpa dicederakan atau ditahan secara sewenang-wenangnya atas tuduhan mempunyai saudara-mara dalam tentera.
Ia juga menyeru koridor selamat untuk memindahkan mereka serta bantuan kemanusiaan disalurkan.
Organisasi itu menggesa masyarakat antarabangsa memberi bantuan dan menekan kepimpinan RSF supaya memindahkan keluarga-keluarga berkenaan dari kawasan berhampiran pertempuran.
Pada Selasa, tentera Sudan berkata pasukannya menangkis serangan baharu RSF di Babnousa, sehari selepas RSF mendakwa mereka menawan bandar itu dan merampas ibu pejabat Divisyen ke-22.
Pejuang RSF melancarkan beberapa serangan terhadap Babnousa minggu lalu di bawah kepungan ketat, sekali gus menjejaskan dakwaan ketua RSF Mohamed Hamdan Dagalo bulan lalu bahawa beliau menerima gencatan senjata kemanusiaan selama tiga bulan secara unilateral.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, tentera menggugurkan bekalan melalui udara kepada pasukannya di dalam bandar itu, yang kehilangan sebahagian besar penduduk selepas 177,000 orang melarikan diri, menurut jawatankuasa bantuan tempatan.
Kerajaan berkata ia masih terbuka untuk berunding dengan RSF tetapi menegaskan kumpulan itu mesti berundur dari semua bandar dan kawasan awam supaya keluarga yang kehilangan tempat tinggal dapat kembali ke rumah.
Konflik antara tentera Sudan dan RSF yang bermula pada April 2023 telah meragut sekurang-kurangnya 40,000 nyawa dan memaksa kira-kira 12 juta orang hilang tempat tinggal, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia. -BERNAMA-ANADOLU