Dua maut akibat banjir, tanah runtuh di Vietnam

LAM DONG, 5 Disember – Vietnam dilanda hujan lebat sehingga mencetuskan banjir yang meragut sekurang-kurangnya dua nyawa dan mengakibatkan puluhan kejadian tanah runtuh.

Saluran berita Voice of Vietnam melaporkan, kawasan di bahagian selatan-tengah Vietnam dilanda hujan lebat selama berminggu-minggu, menenggelamkan ratusan ribu kediaman di kawasan tumpuan pelancongan pesisiran pantai, selain menyebabkan tanah runtuh di kawasan pergunungan.

Hujan lebat turut mengakibatkan ribuan lagi rumah di wilayah Lam Dong ditenggelami air dan mengorbankan sekurang-kurangnya dua mangsa.

Sebanyak 16 kejadian tanah runtuh berlaku di wilayah itu yang merosakkan jalan dan jambatan, serta memaksa penghuni ratusan buah rumah dipindahkan.

Timbalan Pengarah Jabatan Meteorologi dan Hidrologi Kementerian Alam Sekitar, Hoang Duc Cuong berkata, 2025 merupakan tahun yang merekodkan bencana alam paling luar biasa dalam sejarah Vietnam.

Sebanyak 21 ribut, termasuk 15 taufan dan enam tekanan tropika telah melanda Vietnam pada tahun ini – jumlah tertinggi sejak rekod bermula pada 1961.

Negara itu juga mengalami hujan ekstrem dan banjir besar pada tahun ini dengan peningkatan air sungai mencatat paras tertinggi dari kawasan utara melalui bahagian tengah hingga ke Delta Mekong di selatan.

“Belum pernah berlaku banjir luar biasa dan bersejarah yang begitu besar secara serentak dalam satu tahun di 20 batang sungai,” menurut Kementerian Alam Sekitar.

Pada tahun ini, lebih 400 orang maut atau hilang di Vietnam ekoran bencana alam dengan kerugian melebihi AS$3.6 bilion. -AFP

Hey there! Ask me anything!