BAITULMAQDIS, 8 Disember – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Ahad menyatakan bahawa beliau menjangka fasa kedua pelan gencatan senjata tajaan Amerika Syarikat di Gaza akan bermula dalam masa terdekat.
Gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober itu telah menghentikan perang yang tercetus pada 7 Oktober 2023, namun keadaan kekal rapuh dengan Israel terus melakukan pelanggaran.
Setakat ini, semua tebusan di bawah perjanjian telah dibebaskan kecuali mayat seorang pegawai polis Israel.
“Kita menjangka untuk memasuki fasa kedua dalam masa terdekat, dan ia lebih sukar,” kata Netanyahu selepas bertemu Canselor Jerman, Friedrich Merz di Baitulmaqdis.
Fasa awal pelan itu menyaksikan tentera Israel berundur ke belakang ‘garis kuning’ di dalam Gaza.
Fasa kedua pula melibatkan pelucutan senjata Hamas, pengunduran lanjut tentera Israel, penubuhan pihak berkuasa peralihan, serta penempatan pasukan penstabil antarabangsa.
Dalam pada itu Qatar dan Mesir menggesa pengunduran penuh tentera Israel, manakala Hamas menyatakan kesediaan menyerahkan senjata jika pendudukan Israel ditamatkan.
Netanyahu turut memaklumkan pertemuan dengan Trump dijangka berlangsung di Washington, bagi membincangkan keamanan di rantau itu.-AFP