Gunung Berapi Purace muntah debu, tahap amaran ditingkatkan

BOGOTA, 30 November – Pihak berkuasa Colombia menaikkan tahap amaran untuk Gunung Berapi Purace daripada kuning kepada jingga, menandakan kemungkinan besar berlaku letusan.

Bagaimanapun letusan belum disahkan akan berlaku dalam masa terdekat, walaupun terdapat peningkatan dalam aktiviti seismik dan perubahan parameter gunung berapi, menurut Perkhidmatan Geologi Colombia (SGC).

Laporan SGC menyebut, cerapan Pusat Seismologi dan Gunung Berapi Popayan menunjukkan terdapat peningkatan dalam kekerapan dan tenaga gempa bumi yang disebabkan oleh perubahan cecair di dalam gunung berapi.

Gangguan ini disertai dengan pelepasan gas dan abu setinggi 1,000 meter dari kawah yang bertiup ke arah barat laut.

Pihak berkuasa memantau situasi dengan teliti dan menasihati penduduk di kawasan berdekatan supaya kekal waspada serta mematuhi arahan rasmi.

Gunung Berapi Purace terletak di wilayah Cauca dan merupakan salah satu daripada 15 gunung berapi yang membentuk Rantaian Gunung Berapi Los Coconucos (CVLC).

Menurut SGC, letusan besar terakhir berlaku pada Mac 1977 dan sejak 1827, sekurang-kurangnya 14 letusan kecil direkodkan, mengakibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa, menjadikannya salah satu gunung berapi paling aktif di Colombia. -REUTERS

Hey there! Ask me anything!