TORONTO, 6 Disember – Kanada mengeluarkan Syria daripada senarai negara penyokong keganasan pada Jumaat.
Selain itu, Kanada turut menarik balik penyenaraian Hayat Tahrir al-Sham (HTS) sebagai “entiti pengganas”, sekali gus menyertai beberapa negara lain yang melonggarkan sekatan terhadap Damsyik.
Langkah berkenaan susulan kejayaan HTS menggulingkan bekas pemimpin Syria, Bashar al-Assad, Disember lalu dan mengambil alih tampuk pemerintahan negara tersebut.
“Keputusan ini tidak dibuat secara sewenang-wenangnya,” kata Kementerian Luar Kanada dalam satu kenyataan.
Menurut kementerian itu, langkah berkenaan adalah selaras dengan keputusan terkini beberapa sekutu, termasuk United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Langkah berkenaan turut bertujuan mengikuti usaha kerajaan transisi Syria untuk memulihkan kestabilan negara tersebut.
Kanada mula menyenaraikan Syria sebagai “negara penyokong keganasan” pada 2012, ketika tindakan keras Assad terhadap protes prodemokrasi mencetuskan perang saudara.
HTS sebelum ini dikenakan sekatan meluas kerana kaitannya dengan Al-Qaeda, namun beberapa negara Barat kini telah menyahsenarai kumpulan itu bagi membolehkan kerjasama dengan kerajaan Syria baharu serta presidennya, Ahmed al-Sharaa.
Sejak mengambil alih pemerintahan, kepimpinan baharu Syria memulihkan hubungan sekain menampilkan imej lebih sederhana kepada rakyat dan kuasa asing.
Menurut Kementerian Luar Kanada, negara itu masih mengekalkan sekatan terhadap 56 individu Syria, termasuk ahli keluarga Assad dan bekas pegawai rejim Assad yang tumbang. – AFP.