Ibu Palestin cari rezeki dengan baiki wang kertas rosak

NUSEIRAT, Gaza – Di tengah kesibukan pasar Nuseirat, seorang wanita Palestin bergantung sepenuhnya kepada kerja membaiki wang kertas rosak sebagai punca rezekinya.

Manal Al-Saadani berbekalkan sebuah meja kecil yang dibawanya setiap hari dari kem Al-Bureij.

Menurut Manal, walaupun masyarakat memberikan sokongan, kehidupannya tetap berat dan memenatkan.

“Saya mulakan kerja membaiki wang kerana itu sahaja yang mampu saya lakukan. Ramai bawa wang 20 syikal (kira-kira RM25) dan minta saya baiki dengan bayaran satu atau dua syikal (RM1.30–RM2.60), dan saya terima,” katanya.

Setiap hari, dia berjalan beberapa kilometer membawa meja tersebut.

“Sebagai wanita, takkan saya tak berhak berehat dengan anak-anak? Saya cuma mahu orang melihat saya dengan belas kasihan sebagai ibu Palestin,” luahnya.

Seorang pelanggan, Nabila Shenar, berkata ramai penduduk Gaza terpaksa membaiki wang tunai kerana kebanyakan kedai tidak menerima wang rosak.

“Untuk wang 20 syikal (RM25), kami bayar dua syikal (RM2.60). Untuk wang 50 syikal (RM64), kami bayar tiga syikal (RM3.80). Itu sahaja cara untuk kami gunakan semula wang itu.

“Kami perlukan wang yang elok untuk teruskan hidup. Dengan wang rosak, kami tak boleh beli apa-apa,” katanya. – AFP

Hey there! Ask me anything!