India atasi Jepun sebagai ekonomi ke-4 terbesar dunia

NEW DELHI, 30 Disember – India mendakwa ekonominya telah mengatasi Jepun untuk muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia dan menyasarkan untuk memintas Jerman dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Bagaimanapun, pengesahan rasmi bergantung kepada data muktamad Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan yang dijadualkan dikeluarkan pada 2026, dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan India hanya akan mengatasi Jepun tahun depan.

Menurut laporan tinjauan ekonomi akhir tahun kerajaan yang dikeluarkan pada Isnin, India kini antara ekonomi utama dunia yang berkembang paling pantas dan berada pada kedudukan kukuh untuk mengekalkan momentum tersebut.

Laporan itu menyatakan, dengan KDNK bernilai AS$4.18 trilion, India telah mengatasi Jepun sebagai ekonomi keempat terbesar dunia dan dijangka menyingkirkan Jerman dari kedudukan ketiga dalam tempoh dua setengah hingga tiga tahun, dengan unjuran KDNK mencecah AS$7.3 trilion menjelang 2030.

Unjuran IMF bagi 2026 meletakkan ekonomi India pada AS$4.51 trilion berbanding Jepun AS$4.46 trilion.

Penilaian optimistik New Delhi itu dibuat meskipun ekonomi negara berdepan kebimbangan susulan tindakan Washington mengenakan tarif tinggi terhadap India pada Ogos lalu berhubung pembelian minyak dari Rusia.

Kerajaan India memaklumkan pertumbuhan berterusan mencerminkan daya tahan negara itu dalam menghadapi ketidaktentuan perdagangan global yang berpanjangan.

Namun, beberapa penunjuk lain menunjukkan gambaran yang kurang memberangsangkan. Walaupun India mengatasi China sebagai negara paling ramai penduduk dunia pada 2023, KDNK per kapita India hanya AS$2,694 pada 2024, jauh lebih rendah berbanding Jepun AS$32,487 dan Jerman AS$56,103, menurut data Bank Dunia.

Lebih satu perempat daripada 1.4 bilion penduduk India berusia antara 10 hingga 26 tahun, dan negara itu kini berdepan cabaran besar untuk menyediakan pekerjaan bergaji tinggi kepada jutaan graduan muda.

Menurut nota ekonomi berkenaan, sebagai antara negara paling muda di dunia, kejayaan pertumbuhan India bergantung kepada keupayaannya mewujudkan pekerjaan berkualiti yang mampu menyerap tenaga kerja yang semakin berkembang secara produktif dan mampan.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, tahun ini melancarkan pemotongan besar cukai penggunaan serta meluluskan pembaharuan undang-undang buruh selepas pertumbuhan ekonomi mencatat paras terendah dalam tempoh empat tahun bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac.

Nilai rupee India turut mencecah paras terendah berbanding dolar AS pada awal Disember selepas susut kira-kira lima peratus sepanjang 2025, didorong kebimbangan berterusan terhadap ketiadaan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat dan kesan tarif ke atas barangan India.

India sebelum ini muncul sebagai ekonomi kelima terbesar dunia pada 2022 selepas mengatasi Britain, menurut data IMF.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.