Insiden serangan ke atas UNIFIL, enam suspek ditahan

BEIRUT, 6 Disember – Tentera Lubnan menahan enam individu susulan serangan terhadap anggota pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) UNIFIL yang menjalankan rondaan di selatan negara itu,

UNIFIL sebelum ini melaporkan, enam lelaki menaiki tiga motosikal melepaskan tembakan ke arah sebuah kenderaan rondaan pada Khamis, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Dalam kenyataan hari ini, tentera Lubnan memaklumkan Direktorat Risikan telah menjalankan siasatan susulan dan menahan enam suspek warga tempatan.

Tentera Lubnan turut menegaskan bahawa mereka tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang serangan ke atas UNIFIL, yang disifatkan memainkan peranan penting dalam menstabilkan kawasan selatan Sungai Litani, berhampiran sempadan Israel.

UNIFIL ditugaskan sebagai pasukan penampan sejak 1978 dan kini memantau gencatan senjata November 2024 antara Israel dan Hezbollah, perjanjian yang sepatutnya menyaksikan pengunduran tentera Israel serta usaha melucut senjata kumpulan itu.

Namun Hezbollah terus menolak langkah tersebut, manakala Israel meningkatkan siri serangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, mendakwa kumpulan berkenaan cuba memperkukuh kekuatan.

UNIFIL turut melaporkan beberapa kejadian tembakan daripada tentera Israel ke arah atau berhampiran anggota pengamannya.

Pada Rabu, buat pertama kali dalam beberapa dekad, pegawai awam Israel dan Lubnan mengadakan perbincangan langsung melalui mekanisme pemantauan gencatan senjata.-AFP

Hey there! Ask me anything!