KAHERAH, 21 November – Iran menamatkan kerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, (IAEA) susulan resolusi terbaharu yang diluluskan badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa Bersatu itu.
- Iran menghantar surat rasmi menamatkan perjanjian kerjasama dengan IAEA yang dimeterai di Kaherah tahun ini.
- Resolusi Lembaga Gabenor IAEA meminta pengisytiharan stok uranium dan akses ke tapak loji yang diserang.
- Keputusan undian resolusi: 19 sokong, 3 menentang (Rusia, China, Niger), 12 berkecuali.
- Iran menegaskan IAEA tidak akan dibenarkan masuk ke tapak diserang tanpa perjanjian konkrit.
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi menerusi satu kenyataan memaklumkan, surat rasmi telah dihantar kepada IAEA bagi menamatkan perjanjian kerjasama yang dimeterai di Kaherah, tahun ini.
Pada Khamis, Lembaga Gabenor IAEA yang dianggotai 35 buah negara meluluskan resolusi yang menggesa Iran mengisytiharkan tanpa berlengah status stok pengayaan uranium dan tapak loji nuklear yang diserang Israel sebelum ini.
Tujuan utama resolusi itu ialah bagi memperbaharu dan menyesuaikan mandat IAEA untuk melaporkan aspek program nuklear Iran, selain meminta Tehran segera memberikan IAEA jawapan dan akses yang dikehendakinya, lima bulan selepas serangan udara oleh Israel dan Amerika Syarikat, (AS)
Iran, yang menegaskan program nuklearnya untuk tujuan aman telah memberi amaran kepada AS dan tiga kuasa Eropah bahawa jika resolusi itu diluluskan, ia akan “menjejaskan” kerjasama Tehran dengan agensi itu.
“Resolusi tersebut diluluskan dengan 19 undi menyokong, tiga menentang dan 12 berkecuali,” kata para diplomat pada mesyuarat di Vienna. Rusia, China dan Niger adalah negara yang menentangnya.
Terdahulu, dalam satu temubual yang dimuat naik dalam saluran Telegramnya, Araqchi memaklumkan, IAEA tidak akan dibenarkan memasuki tapak loji nuklear yang diserang tanpa perjanjian konkrit yang dipersetujui.
“Kemudahan yang diserang ada cerita tersendiri. Sehingga satu keputusan dibuat dan kesimpulan dicapai antara kami, IAEA, dan lain-lain (pihak), kerjasama tidak mungkin berlaku, tegasnya.
Temubual itu dilakukan sebelum resolusi IAEA diluluskan yang menuntut akses ke tapak yang diserang. – REUTERS

