Iran tuduh AS tiada pendirian serius berhubung rundingan nuklear

TEHRAN, 24 November – Amerika Syarikat (AS) telah memperlihatkan sikap tidak serius mengenai pendiriannya untuk merundingkan isu program nuklear Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • AS dianggap tidak serius dan lebih mengutamakan tindakan paksaan berbanding rundingan tulen tentang program nuklear Iran.
  • Baghaei menegaskan rundingan bermakna tidak akan berlaku selagi pendekatan AS berasaskan arahan dan paksaan diteruskan.
  • Iran telah mencapai persefahaman teknikal dengan IAEA, namun proses itu terganggu oleh campur tangan Eropah.
  • Iran mendesak IAEA mengekalkan tanggungjawab teknikal tanpa terpengaruh oleh tekanan politik dari AS dan tiga negara Eropah.

Perkara itu dinyatakan jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei dalam sidang media di Tehran pada Ahad.

“Amerika Syarikat tidak mempunyai pemahaman yang tepat tentang rundingan. Tindakan lebih penting, bukannya kenyataan lisan mereka, ” katanya sebagai respons terhadap isu nuklear Iran dan laporan terbaru mengenai dakwaan Presiden AS, Donald Trump bahawa rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran berkemungkinan besar akan berlaku.

“Rundingan AS berasaskan arahan dan paksaan berbanding tradisi yang memperlihatkan manfaat bersama (diperoleh) dalam diplomasi. Selagi Amerika Syarikat berterusan dengan cara sedemikian, rundingan bermakna tidak akan berlaku,” kata Baghaei.

Beliau menambah bahawa sejak perjanjian genjatan senjata Gaza antara Israel dengan Hamas berkuat kuasa pada 10 Oktober, Israel secara berterusan melanggar perjanjian tersebut dan terus melakukan jenayah terhadap rakyat Palestin.

Masyarakat antarabangsa mesti mengekang tindakan Israel, jika tidak, krisis serantau mungkin terus merebak.

Dalam sidang media itu, Baghaei juga memaklumkan bahawa Iran sebelum ini telah mencapai satu persefahaman dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), yang menjelaskan bagaimana Iran akan bekerjasama dengan agensi tersebut susulan tindakan pencerobohan AS terhadap Iran.

Malangnya, negara-negara Eropah seperti Britain, Perancis dan Jerman telah menjejaskan proses tersebut dalam mesyuarat Lembaga Gabenor IAEA.

“Iran berharap IAEA akan mematuhi tanggungjawab teknikalnya dan tidak membenarkan tekanan politik daripada Amerika Syarikat serta negara trio dari Eropah iaitu Britain, Perancis dan Jerman yang memaksa agensi itu menyimpang daripada laluan pembangunan profesionalnya, tambah beliau. – REUTERS

Hey there! Ask me anything!