Isu kualiti plat logam: 628 pesawat Airbus A320 perlu diperiksa

PARIS, 3 Disember – Airbus memaklumkan bahawa 628 pesawat A320 di seluruh dunia mungkin perlu menjalani pemeriksaan selepas isu kualiti melibatkan plat logam pada badan pesawat dikenal pasti baru-baru ini.

Dalam kenyataannya, pengeluar pesawat Eropah itu menjelaskan bahawa angka tersebut merupakan “jumlah maksimum pesawat yang berpotensi terjejas,” namun menegaskan bahawa tidak semua pesawat dalam senarai itu benar-benar mengalami masalah berkenaan.

Menurut Airbus, jumlah pesawat yang perlu diperiksa kini berkurangan setiap hari selaras dengan kemajuan pemeriksaan bagi mengenal pasti pesawat yang memerlukan tindakan khusus.

Pada Isnin, Airbus berkata isu itu dikesan pada pembekal tertentu dan digambarkan sebagai “isu kualiti pembekal” yang telah dibendung, serta hanya menjejaskan sebilangan panel logam A320.

Bagaimanapun, laporan mengenai masalah baharu ini menyebabkan saham Airbus menjunam, selepas pendedahan bahawa isu kualiti pada panel fiuslaj telah menangguhkan penghantaran beberapa pesawat A320.

Perkembangan ini muncul selepas insiden berasingan minggu lalu, di mana Airbus mengumumkan kira-kira 6,000 pesawat A320 tidak seharusnya diterbangkan sehingga satu naik taraf perisian dilaksanakan, susulan kejadian di Amerika Syarikat.

A320, yang mula diperkenalkan pada tahun 1988, kekal sebagai pesawat penumpang paling laris di dunia.

Sehingga akhir September, Airbus telah menjual 12,257 unit A320, mengatasi Boeing 737 yang terjual 12,254 unit.- AFP

Hey there! Ask me anything!