Jair Bolsonaro serah kepimpinan politik kepada anak sulung,Flavio

BRASILIA, 6 Disember – Anak lelaki sulung bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro telah dipilih mengetuai kumpulan politik bekenaan bagi bertanding pada pilihan raya Presiden Brazil pada 2026.

Jair Bolsonaro, 70, dijangka tidak bertanding selepas dihukum penjara selama 27 tahun atas tuduhan merancang rampasan kuasa dan dikenakan larangan memegang jawatan awam.

Beliau kini sedang membuat rayuan bagi pengampunan legislatif. Bekas presiden itu juga berdepan masalah kesihatan serius termasuk komplikasi akibat insiden ditikam pada 2018, selain diagnosis kanser kulit baru-baru ini.

Pengumuman Jair dilihat sebagai simbol penyerahan baton politik dalam negara terbesar Amerika Selatan itu.

Sementara itu, Flavio berkata bahawa beliau menerima “amanah” daripada bapanya untuk meneruskan projek politik nasional keluarga Bolsonaro dan tidak akan berdiam diri ketika “demokrasi sedang runtuh.

”Kenyataan itu disertakan dengan gambar beliau mencium kepala Jair Bolsonaro di X.

Flavio, yang merupakan senator Rio de Janeiro, dikenali dengan pendirian tegas terhadap isu keselamatan. Beliau pernah menggesa Amerika Syarikat mengebom bot di Rio de Janeiro bagi memerangi penyeludupan dadah.

Beberapa pemimpin parti termasuk Luciano Zucco, ketua Parti Liberal di dewan rendah, menggambarkan Flavio sebagai seorang yang “berimbang, berpengalaman dan bersedia untuk berdialog.” – AFP

Hey there! Ask me anything!