Jepun keluarkan amaran keselamatan kepada warganya di China

BEIJING, 18 November – Jepun telah memberi amaran kepada warganya di China supaya meningkatkan langkah keselamatan dan mengelak daripada berada di tempat sesak, susulan pertikaian antara Beijing dan Tokyo berhubung isu Taiwan yang semakin meruncing.

Setiausaha Ketua Kabinet Jepun, Minoru Kihara berkata amaran terkini itu merupakan seruan semula untuk mengambil langkah keselamatan memandangkan sentimen terhadap Jepun dalam media China telah merosot susulan peristiwa diplomatik terkini yang menjejaskan hubungan kedua-dua negara jiran itu.

Pertelingkahan diplomatik itu dicetuskan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi yang memberitahu ahli Parlimen Jepun bahawa serangan China ke atas Taiwan yang mengancam kelangsungan hidup Jepun boleh mencetuskan tindak balas ketenteraan.

Ia dianggap sebagai krisis diplomatik paling serius antara kedua-dua kuasa Asia Timur itu dalam beberapa tahun.

Kedutaan Jepun di China pada Isnin mengingatkan warganya supaya menghormati adat tempatan dan berhati-hati dalam interaksi dengan rakyat China.

Kedutaan turut menasihatkan agar sentiasa peka terhadap persekitaran, termasuk “pendekatan individu mencurigakan”, tidak melakukan perjalanan bersendirian serta memberi perhatian lebih apabila bersama kanak-kanak.

Jepun berusaha meredakan pertikaian yang semakin meningkat dengan China, manakala Beijing membalas dengan pelbagai tindakan termasuk menggesa warganya menghentikan perjalanan ke Jepun dan menyatakan bahawa perdana menterinya tiada rancangan untuk bertemu Takaichi di luar persidangan Kumpulan 20 (G20) minggu ini di Afrika Selatan.

Kihara menegaskan tiada keputusan dibuat mengenai pertemuan dwitara semasa G20, namun Jepun tetap terbuka untuk mengadakan “pelbagai dialog” dengan China. -REUTERS

Hey there! Ask me anything!