TOKYO, 5 Disember – Jepun menyuarakan kebimbangan berhubung aktiviti ketenteraan China di rantau ini.
Ia susulan laporan agensi berita Reuters bahawa Beijing telah menempatkan sejumlah besar kapal di perairan Asia Timur pada minggu ini dalam demonstrasi kekuatan maritim terbesar negara itu, setakat ini.
Menteri Pertahanan Jepun, Shinjiro Koizumi ketika ditanya mengenai aktiviti China di Laut China Timur berkata, Tokyo menyedari tentang laporan tersebut dan sedang memantau rapi pergerakan ketenteraan China.
“China telah memperluas dan memperhebat aktiviti ketenteraannya di sekitar Jepun. Kami mengekalkan tahap kewaspadaan yang tinggi terhadap pergerakan ketenteraan China dan sentiasa mengumpul serta menganalisis maklumat,” katanya kepada wartawan.
Reuters melaporkan secara eksklusif pada Khamis bahawa China sedang mengerahkan sejumlah besar kapal tentera laut dan kapal pengawal pantai ke perairan Asia Timur dengan lebih 100 buah kapal terlibat pada satu-satu masa.
Tentera China tidak memberikan sebarang komen, namun seorang jurucakap kementerian luar negaranya berkata, aktiviti tentera laut dan pengawal pantai di kawasan maritim berkaitan mematuhi sepenuhnya undang-undang domestik dan antarabangsa. -REUTERS