COLOMBO, 4 Disember – Jumlah kerugian ekonomi Sri Lanka akibat Siklon Ditwah dianggarkan mencecah antara US$6 bilion dan US$7 bilion, iaitu kira-kira tiga hingga lima peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara itu, menurut seorang pegawai kanan yang menyelia usaha pemulihan pada Rabu, lapor Press Trust of India (PTI).
Sekurang-kurangnya 465 orang telah terkorban setakat ini, manakala 366 lagi masih hilang ketika Sri Lanka bergelut dengan banjir besar, tanah runtuh dan kerosakan teruk infrastruktur yang menyebabkan beberapa daerah terpencil terputus hubungan serta menjejaskan keupayaan respons bencana negara itu.
“Memandangkan kesemua 25 daerah terjejas, kami menganggarkan kosnya sekitar US$6 hingga US$7 bilion,” kata Komisioner Jeneral Perkhidmatan Asas Prabath Chandrakirthi kepada wartawan di sini.
Lebih 1.4 juta penduduk terjejas, dengan lebih 233,000 orang berlindung di 1,441 pusat bantuan.
Chandrakirthi berkata peruntukan undang-undang baharu diperlukan untuk mempercepat prosedur pascabencana.
“Contohnya, di bawah undang-undang sedia ada, sijil kematian hanya boleh dikeluarkan selepas enam bulan. Kami perlu menggubal undang-undang baharu untuk memendekkan tempoh ini,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga memutuskan untuk membenarkan import sayur-sayuran sejuk beku buat sementara waktu kerana kawasan utama penanaman sayur musnah akibat tanah runtuh dan banjir.
Kandy melaporkan jumlah korban tertinggi sebanyak 118 orang, diikuti Nuwara Eliya dengan 89 orang dan Badulla dengan 83 orang, semuanya di kawasan bukit-bukau tengah negara itu.
Chandrakirthi berkata elaun pembersihan rumah untuk keluarga terjejas dinaikkan daripada LKR10,000 (US$32.40) kepada LKR25,000 (US$81.02).
Menurut Pusat Pengurusan Bencana, setakat Selasa, 783 rumah musnah manakala 31,417 yang lain sebahagiannya rosak.
Pihak berkuasa telekomunikasi berkata semua perkhidmatan yang terganggu dijangka pulih menjelang Khamis.- BERNAMA-PTI