Washington, 4 Disember – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah memberikan pengampunan penuh kepada ahli Kongres Texas dari Parti Demokrat, Henry Cuellar berhubung kes rasuah, dengan mendakwa sistem keadilan telah “diperalatkan” oleh pentadbiran terdahulu Joe Biden.
“Saya dengan ini mengumumkan PENGAMPUNAN penuh dan tanpa syarat kepada Henry Cuellar… Anda boleh tidur lena malam ini – mimpi ngeri anda akhirnya berakhir!” kata Trump ketika mengumumkan perkara itu melalui platform media sosialnya, Truth Social.
Cuellar dan isterinya menghadapi beberapa pertuduhan konspirasi dan rasuah, termasuk dakwaan menerima ratusan ribu dolar daripada sebuah syarikat minyak dan gas yang sebahagian dimiliki oleh kerajaan Azerbaijan.
Pasangan itu menafikan semua tuduhan dan sepatutnya menghadapi perbicaraan pada April ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Trump atas kepimpinan yang luar biasa dan kerana meluangkan masa meneliti fakta-fakta kes ini.”kata Cuellar yang membalas pengumuman pengampunan itu dengan berkata melalui X.
Sejak kembali memegang jawatan Presiden untuk penggal kedua tahun ini, Trump telah memberi beberapa pengampunan berprofil tinggi, termasuk kepada bekas Presiden Honduras, Juan Orlando Hernandez, yang dibebaskan dari penjara di West Virginia berhubung tuduhan dadah dan senjata.
Sebelum ini, Trump juga pernah memberi pengampunan kepada ahli politik Demokrat lain, termasuk Gabenor Illinois, Rod Blagojevich, pada Februari lalu atas kes rasuah politik.- AFP