DHAKA, 29 November – Kesihatan bekas Perdana Menteri Bangladesh, Khaleda Zia, dilaporkan semakin merosot sejak dimasukkan ke hospital pada 23 November lalu.
Keadaanya itu sekali gus mendorong keluarga dan pemimpin parti menyeru rakyat agar mendoakan pemulihannya.
Zia, 80 tahun, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat jangkitan paru-paru
“Doktor maklumkan keadaan beliau sangat kritikal,” kata Setiausaha Agung Parti Nasionalis Bangladesh (BNP).
Beberapa pemimpin kanan BNP dan penyokong turut berkumpul di hospital hari ini bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Lapor The Daily Star, Zia menghidap beberapa penyakit kronik termasuk masalah jantung, hati, buah pinggang, diabetes, artritis dan masalah penglihatan.
Beliau turut mempunyai alat pacu jantung kekal dan pernah menjalani prosedur stent.
Anak sulung Zia, Tarique Rahman, yang menetap di London, memohon rakyat Bangladesh mendoakan ibunya.
“Terima kasih atas doa dan kasih sayang anda semua terhadap Begum Khaleda Zia,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Rahman berkata beliau tidak dapat pulang kerana keadaan di luar kawalan, walaupun dia amat merindui ibunya pada saat kritikal ini.
Zia, berkhidmat tiga penggal sebagai Perdana Menteri, dipenjara atas kes rasuah pada 2018 di bawah kerajaan Sheikh Hasina dan dilarang ke luar negara untuk rawatan.
Beliau dibebaskan tahun lalu selepas penyingkiran Hasina.
Pemimpin interim, Muhammad Yunus, turut menyuarakan kebimbangan.
“Pada fasa peralihan demokrasi ini, Khaleda Zia adalah sumber inspirasi penting untuk negara. Pemulihan beliau sangat diperlukan,” katanya.
Walaupun kesihatan semakin merosot, Zia tetap berhasrat meneruskan kempen pilihan raya yang dijangka berlangsung pada Februari 2026, di mana BNP dilihat sebagai pencabar utama. – AFP