PYONGYANG, 25 Disember – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un memantau ujian peluru berpandu jarak jauh permukaan ke udara di sebuah tapak pelancaran berhampiran pantai timur negara itu pada Rabu.
Gambar yang disiarkan oleh Televisyen Pusat Korea (KRT) menunjukkan peluru berpandu itu meluncur ke udara dengan disertai nyalaan api ketika Kim memerhati melalui teropong.
Menurut KRT, ujian berkenaan yang bertujuan menilai teknologi strategik negara untuk membangunkan peluru berpandu altitud tinggi yang baharu, berjaya memusnahkan sasaran di udara dari jarak 200 kilometer.
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) pula melaporkan, Kim turut meninjau kerja pembinaan kapal selam berkuasa nuklear seberat 8,700 tan yang mampu melancarkan peluru berpandu permukaan ke udara di tapak berasingan.
Lokasi dan tarikh lawatan yang turut disertai oleh anak perempuan Kim itu, tidak didedahkan.
Sesetengah penganalisis melihat anak perempuan Kim sebagai calon utama untuk menjadi pemimpin Korea Utara pada masa hadapan.
Projek kapal selam tersebut merupakan sebahagian daripada usaha parti pemerintah Korea Utara untuk memodenkan Tentera Laut negara, iaitu salah satu daripada lima dasar utama yang digerakkan parti berkenaan bagi memperkukuh keupayaan pertahanan, menurut KRT.
Kim dilaporkan berkata, rancangan Korea Selatan untuk membangunkan kapal selam berkuasa nuklear yang dipersetujui bersama Amerika Syarikat akan terus memburukkan ketegangan di Semenanjung Korea, serta menimbulkan risiko kepada keselamatan negara yang memerlukan beliau mengambil tindakan. -REUTERS