NEW DELHI, 6 Disember – Kementerian penerbangan India pada Jumaat menarik balik dasar baharu mengenai tempoh rehat mingguan untuk para juruterbang susulan kekacauan akibat ratusan pembatalan penerbangan oleh syarikat penerbangan terbesar negara itu, IndiGo.
Lapangan terbang di seluruh India kucar-kacir sejak Isnin lepas, dengan syarikat penerbangan swasta itu menyalahkan gangguan tersebut kepada “cabaran operasi yang tidak dijangka”.
Pada Khamis, IndiGo mengakui kepada pengawal selia penerbangan bahawa terdapat “kesilapan pertimbangan dan kelemahan perancangan” dalam menyesuaikan operasi dengan peraturan baharu itu, meskipun syarikat diberi tempoh dua tahun untuk membuat persediaan.
Peraturan baharu itu berkuat kuasa bulan lalu dengan tujuan memberikan juruterbang tempoh rehat lebih panjang bagi meningkatkan keselamatan penumpang.
Menteri penerbangan awam India, Ram Mohan Naidu, berkata peraturan “Had Masa Tugasan Penerbangan” itu “ditangguhkan serta-merta”.
“Keputusan ini diambil semata-mata demi kepentingan penumpang, terutamanya warga emas, pelajar, pesakit dan mereka yang bergantung kepada perjalanan udara tepat pada masa bagi keperluan penting,” kata Naidu dalam satu kenyataan.
Naidu berkata kementeriannya menjangkakan “jadual penerbangan akan mula stabil dan kembali normal menjelang esok”.
IndiGo, yang membatalkan semua penerbangan domestik pada Jumaat dari New Delhi dan Chennai, memohon maaf atas “kesulitan dan tekanan besar” yang dialami para penumpang.
Dalam kenyataan video, Ketua Pegawai Eksekutif IndiGo, Pieter Elbers, berkata kelonggaran peraturan itu adalah “sangat membantu” namun masih “banyak kerja yang sedang berjalan”.
Jumaat merupakan “hari yang paling terjejas teruk” dengan “lebih daripada seribu” pembatalan, katanya.
Beliau menambah syarikat menjangkakan pembatalan akan berkurangan kepada 1,000 pada Sabtu sebelum kembali normal antara 10 hingga 15 Disember.
IndiGo, yang menguasai 60 peratus pasaran domestik India, dengan lebih 2,000 penerbangan sehari.
Terdahulu pada Jumaat, para penumpang meluahkan rasa kecewa dengan situasi yang melanda IndiaGo termasuk duta Singapura ke India, Simon Wong, yang menyifatkan beliau kehilangan kata-kata terhadap kejadian berkenaan.
“Saya menyertai puluhan ribu penumpang yang terkandas akibat #Indigo… Permohonan maaf saya kepada kakitangan muda saya yang menunggu ketibaan saya untuk menghadiri #shaadi (majlis perkahwinannya). Tiada kata-kata,” menurut hantaran di akaun X rasmi kedutaan itu.
Minggu lalu, 200 pesawat IndiGo terjejas selepas Airbus mengeluarkan amaran mengenai keperluan naik taraf segera bagi 6,000 pesawat di seluruh dunia.
India ialah salah satu pasaran penerbangan yang paling pesat berkembang di dunia, mencatatkan 500,000 penumpang harian pada bulan lalu buat pertama kali. – AFP