DOHA, 6 Disember – Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU) Kaja Kallas menegaskan Amerika Syarikat kekal sebagai sekutu utama Eropah meskipun Strategi Keselamatan Negara baharu Washington mengandungi kritikan terhadap institusi Eropah.
Bercakap pada Forum Doha di Qatar, Kallas berkata hubungan erat EU-AS masih utuh walaupun kedua-duanya tidak selalu sependapat.
“AS masih sekutu terbesar kami… kami perlu kekal bersama,” katanya.
Strategi Keselamatan Negara baharu Washington yang diterbitkan awal Jumaat mengkritik Eropah sebagai terlalu dikawal peraturan, kurang keyakinan diri dan berhadapan “penghakisan tamadun” akibat isu imigresen.
Dokumen itu menggariskan secara rasmi siri kecaman yang dilancarkan sejak beberapa bulan lalu oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, terhadap Eropah yang didakwa mengambil kesempatan daripada kemurahan hati Amerika, satu perubahan ketara daripada dasar AS sebelum ini.
“Eropah selama ini memandang rendah keupayaannya sendiri. Terhadap Rusia, sebagai contoh… kita seharusnya lebih yakin,” kata Kallas.
Sementara itu, pegawai Ukraine dan AS meneruskan hari ketiga rundingan di Miami pada Sabtu, bagi mencari jalan menamatkan lebih tiga tahun konflik dengan Rusia.
Pelan AS mencadangkan Ukraine menyerahkan sebahagian wilayah sebagai pertukaran jaminan keselamatan yang masih tidak memenuhi aspirasi Kyiv untuk menyertai NATO.
“Meletakkan tekanan dan sekatan terhadap Ukraine sebenarnya tidak membawa kepada keamanan berkekalan.
“Jika pencerobohan diberi ganjaran, ia akan berulang di tempat lain, bukan sahaja di Ukraine atau Gaza, tetapi di seluruh dunia,” tegas Kallas.-AFP