PADANG, 29 November – Lebih 350 orang terkorban dalam banjir dan tanah runtuh di Indonesia, Thailand dan Malaysia selepas hujan monsun lebat melanda rantau itu sepanjang minggu ini.
Hujan berterusan menyebabkan kawasan rendah tenggelam, ribuan penduduk terperangkap dan ramai berlindung di atas bumbung menunggu diselamatkan.
Pasukan penyelamat di Indonesia masih bergelut memasuki kawasan paling teruk terjejas di Sumatera, dengan lebih 100 mangsa masih hilang.
Di Indonesia bencana itu mengorbankan lebih 200 orang, termasuk 61 maut di Sumatera Barat dan 90 lagi hilang, menurut jurucakap BPBD Ilham Wahab.
Di Sumatera Utara, 116 kematian direkodkan manakala 35 korban dilaporkan di Aceh.
Ketua BNPB, Suharyanto, berkata operasi pembenihan awan akan dilakukan bagi mengurangkan hujan di Sumatera Barat, walaupun cuaca sudah mula reda.
Di Thailand, banjir setinggi tiga meter di Songkhla mengorbankan sekurang-kurangnya 145 orang, antara yang terburuk dalam tempoh sedekad.
Di Hat Yai, mayat dipindahkan ke trak sejuk beku selepas rumah mayat tidak mampu menampung kapasiti
Perdana Menteri Anutin Charnvirakul memohon maaf kepada mangsa dan mengumumkan tempoh dua minggu bagi kerja pembersihan.
Kerajaan Thailand turut mengumumkan bantuan termasuk pampasan sehingga 2 juta baht (RM265,000) kepada keluarga mangsa yang kehilangan ahli keluarga.
Di Malaysia, dua kematian dilaporkan di Perlis selepas hujan lebat menyebabkan kawasan utara negeri itu ditenggelami air.
Musim monsun tahunan dari Jun hingga September selalunya membawa hujan lebat yang menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat.
Ribut tropika turut memburukkan keadaan, menjadikan korban di Indonesia dan Thailand antara yang tertinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Perubahan iklim pula menyebabkan corak ribut berubah, dengan hujan lebih lebat, banjir kilat lebih kerap serta tiupan angin lebih kuat. – AFP