RAMALLAH, 12 November – Lebih 623 rumah dan struktur milik penduduk Palestin dirobohkan oleh rejim Israel di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis sejak awal tahun ini.
- Perobohan rumah oleh rejim Israel bertujuan menggusur penduduk Palestin dan kukuhkan kawalan di Tebing Barat.
- Tindakan ini dilihat sebagai kesinambungan dasar pembersihan etnik terhadap komuniti Palestin.
- Perobohan menambah penderitaan harian dan memperburuk krisis perumahan di kawasan yang diduduki.
- Penduduk Baitulmuqaddis sukar dapat permit pembinaan, berdepan denda atau risiko rumah dirobohkan.
Tindakan perobohan menjadi sebahagian kempen rejim Israel untuk mengusir penduduk Palestin dan mengukuhkan kawalan mereka di kawasan itu, menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
Langkah itu juga merupakan kesinambungan dasar pembersihan etnik rejim selain memberi tekanan berterusan terhadap penduduk Palestin, yang semakin memburukkan penderitaan harian dan krisis perumahan di kota suci itu.
Penduduk Palestin di Baitulmuqaddis berdepan terlalu banyak kesukaran untuk mendapatkan permit pembinaan di kawasan yang diduduki dan mereka sering dikenakan denda besar atau berisiko rumah mereka dirobohkan jika membina tanpa permit. -BERNAMA

