CANBERRA, 17 November – Lebih 70 sekolah di Australia dan New Zealand ditutup pada Isnin untuk dibersihkan selepas asbestos ditemukan dalam produk pasir mainan kanak-kanak yang digunakan secara meluas.
- Lebih 70 sekolah di Australia dan New Zealand ditutup untuk pembersihan selepas asbestos ditemui dalam pasir mainan kanak-kanak.
- Ujian makmal mengesan sisa serat asbestos jenis tremolit dan chrysotile dalam produk pasir berwarna.
- ACCC mengeluarkan notis penarikan balik bagi produk Educational Colours, diikuti penarikan oleh Kmart dan Target.
- Produk digunakan meluas di sekolah untuk aktiviti sensori antara 2020 hingga 2025, menyebabkan banyak kebimbangan keselamatan.
- MBIE menggesa keluarga hentikan penggunaan serta-merta; lebih 120 sekolah menghubungi kerajaan untuk siasatan lanjut.
Beberapa produk pasir berwarna telah ditarik balik selepas ujian makmal menemukan sisa serat asbestos jenis ‘tremolit’ dan ‘chrysotile’ dalam produk terbabit.
Sekolah dan tadika di Wilayah Ibu Negara Australia (ACT) serta sebuah sekolah di Brisbane ditutup Jumaat lalu selepas Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) mengeluarkan notis penarikan balik pada Rabu bagi produk yang dibekalkan oleh syarikat pengeluar dan pembekal produk pendidikan dan mainan kanak-kanak, Educational Colours.
Notis penarikan balik tambahan kemudiannya dikeluarkan syarikat peruncit Kmart dan Target pada Sabtu meliputi set membina istana pasir serta pasir berwarna biru, hijau dan merah jambu.
“Kami mendapati penggunaan produk ini meluas di sekolah awam ACT. Demi keselamatan pelajar, kakitangan dan komuniti, kami memutuskan untuk menutup beberapa sekolah yang menggunakan produk ini bagi tujuan pembersihan,” menurut kerajaan wilayah itu.
“Produk pasir ini, yang digunakan dalam aktiviti sensori di sekolah, dijual oleh peruncit di Australia antara tahun 2020 hingga 2025,” jelas ACCC.
Di New Zealand, sekurang-kurangnya lima sekolah yang menggunakan produk pasir Kmart ditutup pada Isnin untuk ujian asbestos, menurut laporan media tempatan.
Lebih 120 sekolah lain turut menghubungi kerajaan berikutan kebimbangan mereka menggunakan salah satu daripada produk pasir yang ditarik balik tersebut.
Sementara itu jurucakap keselamatan produk Ministry of Business, Innovation and Employment (MBIE), Ian Caplin, menggesa keluarga yang telah membeli produk berkenaan supaya berhenti menggunakannya serta-merta.- REUTERS