GAZA, 4 Disember – Penduduk Palestin bergegas memadamkan kebakaran yang memusnahkan deretan khemah di sebuah penempatan di barat Khan Younis selepas serangan peluru berpandu Israel pada malam Rabu.
Petugas kesihatan di Hospital Al-Kuwaiti mengesahkan mereka menemukan lima mayat penduduk Palestin, termasuk dua kanak-kanak, selepas serangan itu memusnahkan kawasan terbabit.
Hamas mengecam tindakan Israel itu sebagai ‘pengabaian terhadap perjanjian gencatan senjata’, sambil menegaskan rejim Israel memikul ‘tanggungjawab penuh’ terhadap peningkatan ketegangan berterusan.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, lebih 350 penduduk Palestin telah terkorban sejak gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa.
Sejak gencatan senjata pada 10 Oktober, Israel terus melancarkan serangan ke atas Gaza serta melakukan pemusnahan.- REUTERS