BEIJING, 3 Disember – Presiden Perancis Emmanuel Macron dijadual tiba di Beijing pada Rabu dalam usaha mendesak Presiden China Xi Jinping memainkan peranan lebih besar untuk membantu memperoleh gencatan senjata di Ukraine serta membincangkan isu perdagangan antara kedua-dua negara.
Dalam lawatan negara keempatnya ke China sejak menerajui Perancis pada 2017, Macron akan bertemu Xi dan Perdana Menteri Li Qiang di Great Hall of the People di Beijing.
Sebelum meneruskan perjalanan ke Chengdu, lokasi dua ekor panda gergasi yang pernah dipinjamkan kepada Perancis dan baru-baru ini dipulangkan.
“Kami mengharapkan China, sebagai ahli tetap Majlis Keselamatan seperti kami, menggunakan pengaruhnya terhadap Rusia agar Rusia khususnya Vladimir Putin, akhirnya bersetuju dengan gencatan senjata,” kata Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot pada Isnin.
“China boleh memainkan peranan penting dalam membimbing Rusia pimpinan Putin untuk membuat keputusan yang betul,” tambahnya.
Macron telah melakukan rayuan serupa semasa lawatannya ke China pada April 2023 dan ketika kunjungan Xi ke Perancis pada Mei 2024, namun tanpa hasil yang ketara.
China secara konsisten menyeru dialog damai dan menghormati integriti wilayah semua negara tetapi tidak pernah mengecam tindakan Rusia menceroboh Ukraine pada 2022.
Negara Barat pula menuduh Beijing memberi sokongan ekonomi penting kepada Rusia, termasuk membekalkan komponen ketenteraan yang menyokong industri pertahanannya.
Menurut Istana Presiden Perancis, Macron akan menegaskan kepada Xi bahawa China mesti “berhenti daripada menyediakan apa jua bentuk bantuan” yang membolehkan Rusia meneruskan peperangan.
Macron juga dijangka membangkitkan isu perdagangan, memandangkan Kesatuan Eropah kini berdepan defisit perdagangan besar mencecah AS$357 bilion dengan China.
“China perlu meningkatkan penggunaan domestik dan mengurangkan eksport. Manakala Eropah perlu mengurangkan simpanan dan meningkatkan pengeluaran,” kata seorang penasihat Macron.
Presiden Perancis itu, yang ditemani isterinya Brigitte Macron, akan berada di China sehingga Jumaat dengan persinggahan terakhir di Chengdu, wilayah Sichuan.
Istana Presiden Perancis menyifatkan lawatan ke Chengdu sebagai sesuatu yang “amat luar biasa dalam protokol China” dan Macron menghargai penghormatan tersebut.-AFP