ANGOLA, 25 November -Presiden Perancis, Emmanuel Macron menegaskan, pelan damai yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menamatkan perang Ukraine–Rusia masih belum sesuai diterima Kyiv dan Eropah.
- Macron nyatakan pelan damai Trump belum sesuai diterima oleh Kyiv dan Eropah.
- Beberapa aspek pelan perlu dibincang, dirunding dan diperbaiki sebelum disokong.
- Eropah tidak akan sokong sebarang perjanjian yang memaksa Ukraine mengalah atau menyerah.
- Hanya Ukraine berhak tentukan sebarang konsesi wilayah dan perlu ruang bina semula keupayaan pertahanan.
- Aset Rusia yang dibekukan di Eropah perlu ditentukan tindakan oleh pihak Eropah sendiri.
Jelas beliau, terdapat beberapa bahagian dalam pelan tersebut yang memerlukan rundingan lanjut.
“Ada aspek yang perlu dibincang, dirunding dan diperbaiki. Eropah tidak akan menyokong sebarang kesepakatan yang memaksa Ukraine mengalah.
Kita mahukan keamanan, tetapi bukan keamanan yang bermaksud kapitulasi,” katanya dalam wawancara bersama stesen televisyen Perancis, RTL-M6.
Tambah Macron, hanya Ukraine berhak menentukan sama ada mereka sanggup membuat sebarang konsesi wilayah.
Jelas beliau, cadangan awal itu lebih mencerminkan apa yang mungkin boleh diterima Rusia, namun ia tidak semestinya selaras dengan kepentingan Ukraine atau Eropah.
“Ukraine perlu diberi ruang membina semula keupayaan pertahanannya tanpa had sekiranya satu perjanjian damai dicapai.
Aset Rusia yang dibekukan berada di Eropah dan hanya Eropah boleh menetapkan tindakan terhadapnya,” ujarnya lagi.
Ketika ditanya sama ada beliau akan ke Washington untuk membantu rundingan pelan lebih baik, Macron berkata, beliau belum mempunyai perancangan tersebut.
Macron kini berada di Luanda bagi menghadiri mesyuarat pemimpin Kesatuan Eropah dan Kesatuan Afrika. -REUTERS

