ACEH, 5 Disember -Penduduk Aceh Tamiang yang terjejas teruk akibat banjir besar berharap agihan bantuan diselaraskan dengan lebih baik selepas akses darat ke kawasan itu mula dibuka semula.
Keadaan perkampungan di tepi sungai dilaporkan musnah hampir sepenuhnya selepas banjir dan tanah runtuh melanda wilayah Aceh minggu lalu.
Seorang penduduk, Adi Hermawan, 45 tahun berkata, bencana kali ini jauh lebih dahsyat berbanding banjir kilat yang pernah dialami sebelum ini.
“Tahun 2025 ini yang paling besar. Banjir sebelum ini cuma banjir kilat, tapi ini seperti ‘tsunami mini’.
Bezanya air datang dari sungai, bukan dari laut. Pemukiman di tepi sungai hancur seperti kena tsunami,” katanya.
Menurut Adi, bantuan awal hanya tiba dua hari lalu melalui helikopter yang membawa sedikit bekalan makanan segera.
“Hari ini bantuan banyak, tetapi pembahagiannya tidak teratur. Kami tak tahu kenapa. Yang paling kami perlukan sekarang ialah air bersih dan makanan.
Penduduk berharap kemudahan asas segera disediakan. Tolong sediakan juga dapur umum di lokasi yang bersih dan pos kesihatan,” ujarnya.
Kawasan penempatan yang rosak menunjukkan kesan lumpur tebal, kenderaan yang dihanyutkan, serta rumah yang ranap.
Sebahagian penduduk masih membersihkan rumah, manakala ada yang berlindung di khemah sementara di tepi jalan dan jambatan.
Menurut data kerajaan Indonesia, jumlah korban akibat banjir dan tanah runtuh yang dipacu siklon itu meningkat kepada 836 orang, dengan ratusan masih hilang di wilayah Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh.
Agensi Pengurusan Bencana Nasional memaklumkan, kerja membuka laluan darat, memulihkan elektrik dan mengagihkan bantuan kini dipertingkatkan melalui laluan darat, udara dan laut.
Keutamaan semasa termasuk pembersihan jalan, penghantaran makanan dan air bersih, serta penyediaan dapur umum dan fasiliti kesihatan di kawasan selamat. -REUTERS