MEXICO CITY, 10 November – Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum pada Ahad mengumumkan pelan menangani jenayah terancang serta memperkukuh keselamatan di negeri Michoacan susulan pembunuhan berani matian seorang datuk bandar yang mengejutkan seluruh negara.
Lebih 10,500 anggota tentera dan Pengawal Kebangsaan dikerahkan dalam operasi yang dinamakan Michoacan Plan for Peace and Justice, bagi membanteras kumpulan jenayah, memerangi kegiatan pemerasan serta memusnahkan makmal dadah dan kem latihan, menurut pegawai kerajaan pada sidang media.
Presiden Sheinbaum memaklumkan pelan tersebut melibatkan pelaburan sebanyak 57 bilion peso.
Michoacan menyaksikan gelombang kekerasan baharu susulan pembunuhan Carlos Manzo, Datuk Bandar Uruapan, yang ditembak mati ketika sambutan Hari Orang Mati pada 1 November. Manzo sebelum ini lantang mengkritik kerajaan Persekutuan kerana didakwa gagal menangani jenayah terancang secara tegas.
Pegawai turut memaklumkan usaha akan dipergiat untuk memperkukuh pasukan polis negeri dan pejabat pendakwa raya negeri. Pelan itu juga meliputi penambahan peruntukan bagi sektor kebajikan, pertanian, infrastruktur, pelancongan dan pekerjaan.
Beberapa anggota kabinet kanan turut hadir pada pengumuman itu, termasuk Menteri Keselamatan Omar Garcia Harfuch, Menteri Ekonomi Marcelo Ebrard dan Menteri Pertanian Julio Berdegue. Sheinbaum berkata beliau akan memantau perkembangan pelan tersebut setiap 15 hari dan menyediakan laporan kepada umum.
Pembunuhan mengejut Manzo, yang hanya beberapa minit sebelum insiden sempat menyampaikan ucapan sambil mendukung anak kecilnya mencetuskan kemarahan rakyat dan meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Sheinbaum untuk bertindak segera dalam menangani krisis keselamatan.
Pengusaha lemon dan avocado di daerah itu sejak bertahun-tahun menzahirkan kebimbangan berhubung pemerasan, penculikan dan pembunuhan yang dikaitkan dengan keganasan kartel. Salah seorang pemimpin sektor tersebut, Bernardo Bravo, dibunuh pada Oktober.
Isteri Manzo, Grecia Quiroz, mengangkat sumpah pada Rabu sebagai Datuk Bandar Uruapan yang baharu, dengan berikrar meneruskan perjuangan suaminya menentang kumpulan jenayah terancang.
Pada 6 November, pihak berkuasa mengenal pasti seorang remaja berusia 17 tahun, Victor Manuel Ubaldo, sebagai suspek utama dalam pembunuhan Manzo. Ubaldo terbunuh di lokasi kejadian selepas berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan. Pejabat pendakwa raya negeri memaklumkan terdapat individu lain yang turut terlibat dalam insiden tersebut.-REUTERS