NEW DELHI, 25 November – Nahas jet pejuang Tejas milik Tentera Udara India di Pertunjukan Udara Dubai merupakan kejadian terpencil yang berlaku akibat keadaan luar biasa, menurut syarikat pengeluar Hindustan Aeronautics Limited (HAL) pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.
- HAL menyifatkan nahas Tejas di Pertunjukan Udara Dubai sebagai kejadian terpencil akibat keadaan luar biasa.
- Syarikat menjangka insiden itu tidak akan menjejaskan operasi atau penghantaran pesawat yang akan datang.
- Juruterbang Komander Skuadron Namansh Syal terbunuh dalam nahas ketika demonstrasi penerbangan pada 21 November.
- Tejas ialah jet supersonik enjin tunggal, kira-kira 60% diperbuat dalam negara; pembangunan bermula 1983, berkhidmat sejak 2015.
“Kami ingin memaklumkan yang insiden baru-baru ini semasa pertunjukan udara di Pertunjukan Udara Dubai adalah kejadian terpencil yang timbul daripada keadaan luar biasa,” menurut HAL seperti dipetik akhbar The Times of India.
Syarikat itu menjelaskan yang pihaknya tidak menjangka nahas itu akan memberi kesan kepada operasi atau penghantaran pesawat yang akan datang.
Pada 21 November, sebuah jet pejuang Tejas terhempas semasa penerbangan demonstrasi di Pertunjukan Udara Dubai, mengakibatkan kematian juruterbangnya Komander Skuadron Namansh Syal.
Tejas ialah jet pejuang supersonik enjin tunggal pelbagai guna yang sekitar 60 peratus dibuat dalam negara oleh HAL dan Kementerian Pertahanan India. Pembangunannya mengambil masa lebih 30 tahun, bermula pada 1983 dan memasuki perkhidmatan pada 2015 selepas beberapa kelewatan.- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

