OPEC+ dijangka kekal tahap pengeluaran

VIENNA, 30 November – Menteri-menteri Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan negara sekutu (OPEC+) dijangka mengekalkan tahap pengeluaran semasa apabila mereka bermesyuarat secara dalam talian pada Ahad.

Mesyuarat peringkat menteri yang diadakan sebanyak dua kali setahun itu berlangsung ketika masih wujud ketidaktentuan tentang bagaimana harga minyak akan berkembang dalam masa terdekat.

Ia juga diadakan ketika para pedagang mencari petunjuk dalam kemajuan rundingan berterusan untuk menyelesaikan konflik di Ukraine yang boleh membawa kepada kemunculan semula minyak mentah Rusia dalam pasaran.

Sejak April, lapan anggota utama OPEC+ yang diketuai Arab Saudi dan Rusia telah meningkatkan pengeluaran dalam usaha mendapatkan semula bahagian pasaran di tengah-tengah persaingan sengit daripada pengeluar di luar kumpulan, seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Guyana.

Namun pada awal November, kumpulan V8 mengumumkan bahawa mereka akan berhenti meningkatkan pengeluaran pada suku pertama 2026 disebabkan jangkaan permintaan bermusim yang lebih rendah selepas peningkatan kecil pada Disember.

Penganalisis Commerzbank, Barbara Lambrecht berkata, mesyuarat menteri OPEC+ itu tidak mungkin menghasilkan sebarang pemacu baharu yang besar untuk pasaran.

“Perjanjian gencatan senjata berkemungkinan menghentikan serangan balas terhadap infrastruktur tenaga dan sekatan mungkin diringankan atau bahkan ditarik balik yang akan mengurangkan risiko premium yang kini mendorong peningkatan harga minyak,” katanya.

Namun, kebuntuan dalam rundingan boleh memaksa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk mengetatkan semula sekatan terhadap industri minyak Rusia, sekali gus berpotensi melonjakkan harga minyak, kata Arne Lohmann Rasmussen, penganalisis di Global Risk Management.

Ketidaktentuan mengenai masa depan harga minyak telah mengukuhkan keyakinan penganalisis bahawa OPEC+ akan mengekalkan tahap pengeluaran semasa seluruh kumpulan, seperti yang dijangkakan sebelum ini oleh kumpulan lapan negara tersebut.

Pada mesyuarat sebelum ini, kumpulan itu mengumumkan rancangan mereka untuk menilai kapasiti pengeluaran maksimum mampan bagi setiap negara anggota, yang akan menjadi penanda aras untuk kuota mulai 2027.

“Terdapat khabar angin mengenai kemungkinan ada perbincangan berhubung tahap pengeluaran asas,” kata Kim Fustier, penganalisis di HSBC.

Namun Fustier percaya, masih terlalu awal untuk mereka membincangkannya dan kumpulan itu akan menunggu sehingga 2026. -AFP

Hey there! Ask me anything!