MINNESOTA, 5 Disember -Operasi penguatkuasaan besar-besaran oleh Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) di sekitar Minneapolis–St. Paul mencetuskan kebimbangan dalam kalangan komuniti imigran dan pelarian.
Kehadiran ejen ICE sejak awal minggu ini dilaporkan meningkat di beberapa kawasan tumpuan, termasuk penempatan komuniti Somalia dan Hispanik.
Menurut Michelle Rivero dari Pejabat Hal Ehwal Imigran dan Pelarian Minneapolis, banyak penduduk kini hidup dalam ketakutan.
“Ada banyak laporan mengenai operasi imigresen di pelbagai kawasan. Ramai sangat takut, termasuk mereka yang lahir di Amerika Syarikat,” katanya.
Di South Minneapolis, kumpulan sukarelawan dikenali sebagai Community Rapid Response ICE Watch melakukan rondaan dan mengekori kenderaan disyaki digunakan oleh ejen ICE.
Salah seorang sukarelawan, Miri berkata, beliau menyaksikan sendiri cubaan menahan seorang lelaki Hispanik berhampiran Karmel Mall.
“Sekitar 8.30 pagi, saya nampak tiga kereta ICE berhenti dan cuba memasukkan seorang lelaki ke dalam kereta mereka. Saya terus rakam dan tiup wisel supaya orang lain tahu apa yang berlaku,” jelasnya.
Video yang dirakam Miri menerusi telefon bimbitnya menunjukkan detik ejen ICE cuba menahan lelaki berkenaan sebelum orang ramai mula menghampiri.
Beliau berkata tindakannya hanyalah usaha mempertahankan komuniti setempat.
“Saya membesar di sini bersama komuniti Somalia dan Hispanik. Mereka jiran saya. Bila jiran disasarkan, sudah tentu kita keluar membantu,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey, menandatangani arahan eksekutif melarang ejen persekutuan menggunakan kemudahan milik bandar seperti tempat letak kereta, garaj atau lot kosong sebagai lokasi operasi.
Sukarelawan dilihat terus berkumpul di luar Karmel Mall pada Khamis meskipun suhu paras beku dan mereka bersedia meniup wisel jika ternampak ejen ICE. -REUTERS