ISLAMABAD, 4 Disember – Pakistan akan membenarkan bekalan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memasuki Afghanistan secara sementara.
Kedua-dua negara terlibat dalam pertikaian yang semakin tegang sejak Taliban kembali menguasai Kabul pada 2021, dengan Islamabad menuduh Afghanistan menempatkan militan yang melancarkan serangan rentas sempadan, tuduhan yang dinafikan pihak berkuasa Afghanistan.
Seorang pegawai kerajaan Pakistan, berkata pembukaan sempadan terhad itu adalah “pengecualian kemanusiaan khusus” susulan permintaan rasmi daripada agensi PBB.
Bantuan yang dihantar termasuk makanan, ubat-ubatan, peralatan perubatan serta barangan penting berkaitan kesihatan dan pendidikan.
Penghantaran bantuan akan dilakukan dalam tiga fasa, namun pegawai berkenaan tidak menyatakan bila fasa pertama akan bermula.
Seorang pegawai PBB turut mengesahkan bahawa bantuan itu akan memasuki Afghanistan tidak lama lagi.
Bagaimanapun, pihak berkuasa di Spin Boldak, sebuah bandar sempadan penting di Afghanistan, berkata mereka belum menerima sebarang maklumat mengenai penghantaran tersebut dan pintu sempadan masih tertutup.
Pegawai Pakistan menegaskan sempadan masih ditutup untuk perdagangan dan imigresen, dan pembukaan terhad ini hanya untuk tujuan bantuan kemanusiaan. Perdagangan Transit Afghanistan juga belum dipulihkan.
Penutupan sempadan sejak 12 Oktober akibat pertempuran rentas sempadan telah menyebabkan puluhan lori Afghanistan yang membawa barangan mudah rosak tersangkut. Kerugian di kedua-dua pihak melebihi $100 juta, melibatkan sehingga 25,000 pekerja di kawasan sempadan, menurut Pakistan-Afghanistan Joint Chamber of Commerce and Industry (PAJCCI).
Pakistan kekal sebagai rakan dagang terbesar Afghanistan, membekalkan beras, farmaseutikal dan bahan mentah, sambil mengambil 45% eksport Afghanistan tahun lalu, menurut Bank Dunia.- AFP