Pemulihan pascabanjir di Indonesia perlukan lebih AS$3 bilion

SUMATERA, 8 Disember -Lebih 51.82 trilion rupiah (AS$3.11 bilion) diperlukan untuk membaik pulih kawasan yang musnah akibat banjir dan tanah runtuh di Sumatera minggu lalu.

Jumlah itu diumumkan kerajaan Indonesia selepas tinjauan awal mendapati kemusnahan besar-besaran berlaku di tiga wilayah iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.

Angka sebenar juga dijangka meningkat apabila penilaian diteruskan.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana Indonesia, Suharyanto berkata, Aceh memerlukan peruntukan terbesar, iaitu 25.41 trilion rupiah.

Ia diikuti Sumatera Utara, 12.88 trilion rupiah dan Sumatera Barat 13.52 trilion rupiah.

Di lapangan, penduduk masih bergelut membina semula kehidupan yang musnah akibat bencana itu.

Banyak kampung di Tapanuli selatan musnah, jambatan putus dan akses jalan terhalang oleh runtuhan.

Tentera kini membina jambatan Bailey sepanjang 33 meter bagi memulihkan laluan logistik dan operasi menyelamat.

Di Aceh Tamiang, ribuan mangsa tinggal di pusat pemindahan sementara, bergantung kepada dapur komuniti dan bantuan makanan yang baru tiba selepas laluan darat dibuka.

Pihak berkuasa tempatan telah menggesa kerajaan pusat mengisytiharkan darurat nasional bagi mempercepat pelepasan dana pemulihan dan mengukuhkan operasi bantuan di kawasan terjejas.

Bencana yang dicetuskan siklon itu meragut 950 nyawa setakat Isnin, dengan 274 masih hilang.

Ribut sama turut mengorbankan sekitar 200 orang di bahagian selatan Thailand dan Malaysia. -REUTERS

Hey there! Ask me anything!