Penduduk Hat Yai bergelap, penduduk bersihkan kediaman

HAT YAI, 30 November – Para petugas dan penyelamat di bandar Hat Yai mengagihkan bekalan kepada penduduk terjejas pada Sabtu selepas banjir besar melanda selatan Thailand.

Banjir berkenaan menenggelamkan sembilan wilayah di selatan negara itu dan meragut 162 nyawa, dengan sekurang-kurangnya 126 mangsa berasal dari wilayah Songkhla.

Ramai penduduk meneruskan kehidupan tanpa bekalan elektrik dan menilai kerosakan kediaman serta perniagaan mereka selepas situasi berkenaan melanda sepanjang minggu lalu.

Hat Yai menerima 335 mm hujan dalam tempoh dua hari pada Jumaat (21 November), jumlah harian tertinggi dalam tempoh 300 tahun.

Penduduk tidak menerima amaran jelas daripada pihak berkuasa tempatan walaupun hujan lebat menyebabkan paras air meningkat mendadak, mengakibatkan ramai terperangkap di kediaman masing-masing.

Seorang penduduk di Hat Yai, Waresumsuni, 26 tahun, berkata banjir yang melanda di kawasan itu antara yang paling teruk pernah berlaku.

“Setahu saya, ini banjir paling teruk dalam banyak tahun. Saya tinggal di asrama dan langsung tidak keluar. Saya terperangkap selama lima hari. Kami hanya makan bubur.

“Ada lebih 200 orang di asrama itu. Bila kami sudah terperangkap bersama, mereka berkongsi barang, kumpulkan makanan dan memasak bersama. Ada yang berenang mencari gas memasak dan air minuman untuk dibawa pulang. Ada pelajar Malaysia juga tinggal di sini,” katanya.

Sementara itu, seorang pemilik kedai cenderamata, Sasirat 45, berkata, banjir berkenaan menyebabkan paras air naik hingga empat meter (m) malah ada yang mencecah paras siling.

“Orang Malaysia juga datang pada waktu ini. Setiap kedai sudah menyimpan stok untuk jualan Tahun Baharu. Kerosakannya sangat besar, benar-benar besar.

“Kedai kecil seperti saya pun sudah rugi ratusan ribu baht. Kedai di seberang itu terima pampasan dua juta baht daripada insurans, tapi kerosakan sebenarnya jauh lebih besar,” katanya.- REUTERS

Hey there! Ask me anything!