Penduduk Hong Kong berkabung, kenang mangsa kebakaran dan wira bomba

HONG KONG, 29 November– Penduduk Hong Kong pada Sabtu melahirkan rasa sedih dan syukur selepas memberikan penghormatan kepada mangsa-mangsa kebakaran bangunan tinggi di bandar itu, serta kepada anggota bomba yang terlibat dalam memadamkan kebakaran tersebut.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih, menunjukkan rasa syukur kami kepada semua anggota bomba lain yang terlibat dalam memadamkan kebakaran, dalam menyelamatkan orang ramai,” kata Jonathan Poon, seorang akauntan berusia 40 tahun, ketika bendera Hong Kong dan China dikibarkan separuh tiang di atas sebuah balai bomba di Sha Tin.

“Saya benar-benar bimbang dan saya hanya berharap si mati dapat bersemadi dengan tenang,” ujar Gong, 74 tahun, seorang penduduk tempatan menahan sebak ketika diwawancara di luar dewan serba guna di Tai Po.

Hong Kong pada Sabtu mula berkabung secara rasmi atas 128 orang yang disahkan maut dalam kebakaran besar di kompleks pangsapuri tinggi, dengan jumlah korban dijangka meningkat kerana 150 orang lagi masih dilaporkan hilang beberapa hari selepas bencana itu.

Pihak berkuasa telah menahan 11 orang berkaitan dengan insiden kebakaran terburuk bandar itu dalam tempoh hampir 80 tahun.

Penahanan dibuat bagi menyiasat kemungkinan rasuah serta penggunaan bahan tidak selamat semasa kerja-kerja pengubahsuaian di kompleks Wang Fuk Court.

Operasi menyelamat di lokasi kejadian di daerah Tai Po, berhampiran sempadan tanah besar China, telah ditamatkan pada Jumaat (28 November).

Namun, pihak polis memaklumkan mereka mungkin menemukan lebih banyak mayat semasa pemeriksaan bangunan yang musnah. -REUTERS

Hey there! Ask me anything!