Peneroka Israel paksa komuniti Badwi tinggalkan penempatan di Tebing Barat

TEBING BARAT, 5 Disember -Tindakan agresif peneroka Israel terus memaksa komuniti Badwi meninggalkan penempatan mereka di wilayah Tebing Barat yang diduduki.

Di kawasan tengah Tebing Barat, penduduk Badwi termasuk Ahmed Kaabneh, 45, terpaksa meninggalkan tanah yang didiami keluarganya sejak turun-temurun.

Tindakan itu dilakukan selepas penjajah Israel membina sebuah pondok kira-kira 100 meter dari rumahnya dan mula menakut-nakutkan anak-anaknya.

Sebelum itu, gangguan berterusan turut memaksa adik-beradiknya berpindah.

Kini, kelompok rumah kayu dan logam yang pernah didiami ayah dan datuknya telah kosong sepenuhnya.

“Sangat sukar, kerana terpaksa meninggalkan tempat yang kami duduki selama 45 tahun. Bukan sehari dua, tetapi hampir seumur hidup.

Tapi apa boleh buat? Mereka kuat, kami lemah. Kami tiada kuasa,” kata Kaabneh kepada AFP di lokasi penempatan sementara keluarganya di utara Jericho.

Israel telah menduduki Tebing Barat sejak 1967 dan keganasan di wilayah itu meningkat ketara sejak serangan Zionis di Gaza pada Oktober 2023.

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (OCHA), sekitar 3,200 penduduk Palestin daripada puluhan komuniti Badwi dan penternak telah dipaksa keluar sejak Oktober 2023 akibat keganasan peneroka dan sekatan pergerakan.

PBB turut melaporkan bahawa Oktober lalu menjadi bulan paling buruk bagi keganasan peneroka sejak rekod dimulakan pada 2006.

Hampir semua pelaku keganasan itu tidak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa Israel, menurut laporan berkenaan. -AFP

Hey there! Ask me anything!